TUARAN: Penubuhan Muzium Mini Hakka di sini akan membantu usaha memelihara, mendokumentasikan serta mengangkat martabat khazanah kebudayaan masyarakat Hakka di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Saya melihat penubuhan sebuah Muzium Hakka sebagai satu inisiatif yang amat signifikan dan bertepatan pada masanya.
“Muzium ini berpotensi menjadi pusat rujukan dan khazanah ilmu yang menghimpunkan pelbagai tinggalan sejarah serta warisan budaya masyarakat Hakka, termasuk rakaman bahasa Hakka, sejarah dan busana tradisional tarian unicorn, selain resipi warisan serta kisah di sebalik keunikan hidangan tradisional masyarakat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian bangunan baharu Persatuan Hakka Daerah Tuaran dan Muzium Mini Hakka di sini hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Ketua Menteri berkata penubuhan muzium ini bukan sekadar bertujuan memelihara khazanah sejarah untuk tatapan generasi akan datang, tetapi juga menjadi jambatan yang menghubungkan warisan silam dengan aspirasi masa depan.
“la sekali gus membuka ruang kepada generasi muda dan para pengunjung untuk mengenali, memahami serta menghargai sumbangan masyarakat Hakka dalam pembentukan sejarah dan identiti Sabah,” katanya.
Beliau turut percaya usaha memartabatkan khazanah seperti ini akan terus memperkukuh semangat saling menghormati, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.
“Sesungguhnya, kepelbagaian budaya merupakan kekayaan yang harus kita pelihara, manakala perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan yang mesti terus kita pertahankan demi masa depan Sabah yang aman, harmoni dan makmur,” katanya.
Hajiji berkata masyarakat Hakka di Sabah sejak kehadiran mereka seawal tahun 1883 telah memainkan peranan penting dalam mencorakkan landskap sosioekonomi, memperkaya warisan budaya serta menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negeri sehingga hari ini.
Beliau berkata pertubuhan masyarakat seperti Persatuan Hakka Daerah Tuaran mempunyai peranan yang besar.
“Selain memelihara budaya dan identiti masyarakat sendiri, persatuan juga boleh menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang serta memperkukuh perpaduan dan keharmonian di negeri ini.
“Saya berharap Persatuan Hakka Daerah Tuaran akan terus bergerak ke hadapan dengan memberi perhatian kepada pembangunan generasi muda, memperkasa aktiviti kebudayaan, memperluas program kemasyarakatan dan terus memberikan khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Bagi pihak Kerajaan Negeri pula, katanya ia sentiasa menghargai peranan pertubuhan masyarakat dalam membantu membangunkan komuniti.
“Sokongan dan kerjasama antara kerajaan, pertubuhan masyarakat, pihak swasta dan rakyat amat penting untuk memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat terus dilaksanakan,” katanya.
Hajiji mengucapkan tahniah kepada Persatuan Hakka Daerah Tuaran atas pembukaan Muzium Mini Hakka yang bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong terutama di Tuaran.-pr/BNN





