KOTA KINABALU: Pengerusi Biro Kesihatan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Dr Davina Datuk Markus, menyambut baik inisiatif kesihatan dalam Belanjawan 2027, khususnya tawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak serta usaha memperkukuh kemudahan kesihatan awam.

Beliau berkata, lebih 4,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun ini, manakala lebih 9,000 lagi dijangka menerima tawaran berkenaan tahun depan. Bermula tahun depan, doktor yang menamatkan latihan siswazah juga akan terus ditawarkan jawatan tetap sebagai Pegawai Perubatan.

Katanya, sebagai individu yang pernah melalui pengajian perubatan, beliau memahami perjalanan panjang dan mencabar untuk bergelar doktor. Justeru, kepastian kerjaya penting bagi membolehkan golongan itu merancang masa depan selepas bertahun-tahun menjalani pengajian, latihan siswazah dan berkhidmat.

Menurutnya, usaha mengekalkan lebih ramai doktor dalam perkhidmatan awam bukan sahaja memberi kelegaan kepada petugas kesihatan, malah berpotensi mempercepatkan rawatan, mengurangkan kesesakan hospital dan menambah baik kemudahan wad.

Dr Davina turut menyambut baik kenaikan insentif bagi petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100, sambil menegaskan kepentingan perkhidmatan itu kepada penduduk pedalaman Sabah yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, bantuan saringan kesihatan awal juga penting bagi membantu golongan yang layak mengesan penyakit seperti diabetes dan darah tinggi sebelum menjadi lebih serius. Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan tanpa menunggu sehingga jatuh sakit.

Dalam pada itu, beliau berkata, peluasan pelepasan cukai individu, termasuk bagi penjagaan selepas bersalin, pusat jagaan ibu bapa serta datuk dan nenek, pembelian kasut sukan dan perbelanjaan tertentu berkaitan vaksinasi serta haiwan peliharaan, turut membantu keluarga mengurus perbelanjaan.

“Harapan saya, semua inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat, termasuk mereka yang tinggal jauh di pedalaman Sabah. Kepada doktor muda, tahniah atas berita baik ini. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Dalam kesibukan menjaga kesihatan orang lain, jangan lupa menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.-pr/BNN