SANDAKAN : Keindahan dan kekayaan warisan Sandakan sekali lagi menjadi tumpuan menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Gala VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 Sandakan yang berlangsung meriah di Dewan Tropicana, Elopura Hotel.
Program berprestij ini disempurnakan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), YB Datuk Jafry Ariffin, serta mendapat sokongan padu daripada Tourism Malaysia Sabah dan pelbagai rakan strategik.
Edisi tahun ini menyaksikan sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 121 hingga 124 peserta daripada 31 pasukan, yang merangkumi 40 peserta atau 10 pasukan daripada kalangan pengamal media dan pempengaruh.
Kehadiran golongan media ini disifatkan sebagai elemen penting dalam memperluas jangkauan promosi pelancongan menerusi perkongsian kandungan digital yang kreatif, autentik, dan berimpak tinggi.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah menjelajah dan meneroka 11 lokasi mercu tanda serta tarikan pelancongan ikonik di sekitar Sandakan. Antara lokasi menarik yang menjadi hentian utama termasuklah:
- Bornean Sun Bear Conservation Centre
- Sepilok Orangutan Rehabilitation Centre
- Rainforest Discovery Centre
- Fookloi Corporation (Proton)
- Masjid Jamek Sandakan
- Tangga Seribu
- Rumah Agnes Keith
- Gereja St. Michael and All Angels
- Tokong Puh Jih Shih
- Pasar Sandakan
- San De Gan Café
Setiap destinasi yang dilawati mengetengahkan kekayaan sejarah, warisan, budaya, serta keindahan alam semula jadi tempatan yang memberikan pengalaman langsung kepada para peserta.
Majlis makan malam tersebut diadakan bagi meraikan usaha, semangat berpasukan, kreativiti, serta kejayaan semua peserta yang mengambil bahagian, selain menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim selepas berdepan pelbagai cabaran sepanjang perlumbaan.
Melihat kepada sambutan yang amat positif pada tahun ini, pihak panjur berhasrat untuk meneruskan program ini menerusi penganjuran Treasure Hunt 2.0 pada tahun hadapan.
Penganjuran edisi seterusnya dijangka tampil dengan skala yang lebih besar serta melibatkan penyertaan yang lebih meluas dari Semenanjung Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Inisiatif berterusan ini diharap dapat menyokong sepenuhnya matlamat kempen Visit Malaysia 2026–2027 serta Visit Sabah 2027, sekali gus memperkukuh kedudukan Sandakan sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di persada global.-BNN




