KENINGAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu membina model politik tersendiri yang berteraskan realiti, kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah, tanpa perlu meniru sepenuhnya pendekatan politik negeri lain.

Ketua Cawangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Kampung Padang Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata Sabah mempunyai sejarah, identiti, masyarakat majmuk dan cabaran pembangunan tersendiri yang memerlukan pendekatan bersesuaian dengan acuan negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian PGRS P180 Keningau berkata, kejayaan negeri lain, termasuk Sarawak, boleh dijadikan panduan, namun kekuatan politik Sabah perlu dibina berdasarkan keperluan serta aspirasi rakyatnya sendiri.

“Kita boleh belajar daripada kejayaan negeri lain, termasuk Sarawak, tetapi Sabah mesti membina kekuatannya mengikut acuan sendiri. Kita mempunyai sejarah, identiti, kepelbagaian masyarakat dan aspirasi yang tersendiri,” katanya, hari ini.

Menurutnya, GRS yang menghimpunkan enam parti tempatan, iaitu PGRS, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Cinta Sabah (PCS), berpotensi menjadi gabungan politik negeri yang mantap jika semua komponennya bersatu dalam agenda bersama.

Katanya, kekuatan gabungan tidak hanya bergantung pada jumlah parti, tetapi turut ditentukan kesatuan pendirian, disiplin organisasi dan keupayaan mengurus perbezaan secara matang dengan mengutamakan kepentingan Sabah.

Yazid berkata, kepimpinan Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berpeluang menyatukan kekuatan politik tempatan bagi memperkukuh kestabilan negeri serta kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata, keutamaan GRS seterusnya ialah memastikan kesepakatan parti komponen diperkukuh melalui penghormatan terhadap peranan masing-masing dan mekanisme penyelesaian perbezaan yang jelas, supaya agenda bersama tidak diketepikan oleh kepentingan individu atau parti.

Dalam masa sama, perjuangan hak Sabah, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kedudukan perlembagaan negeri, tuntutan berkaitan hasil negeri dan autonomi yang dipersetujui, perlu diteruskan melalui rundingan berasaskan undang-undang, fakta dan komitmen pelaksanaan yang boleh dinilai rakyat.

Yazid turut menekankan kepentingan menterjemahkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 kepada hasil pembangunan yang nyata, khususnya dalam penyediaan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan dan perumahan.

Menurutnya, pembangunan ekonomi setempat dan peluang pekerjaan juga perlu diperluas, terutama di kawasan pedalaman termasuk Keningau dan daerah sekitarnya, bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih seimbang.

Selain itu, GRS perlu memperkukuh struktur organisasi, memperluas penyertaan masyarakat dan melahirkan kepimpinan pelapis supaya kelangsungan gabungan tidak bergantung kepada individu semata-mata, sebaliknya disokong institusi yang berfungsi dengan teratur dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, pemimpin dan wakil rakyat pula perlu mengutamakan khidmat serta integriti dengan mendengar keluhan masyarakat, memastikan peruntukan digunakan secara berkesan dan menilai prestasi berdasarkan mutu perkhidmatan serta peningkatan taraf hidup rakyat.

Yazid menegaskan semangat Sabah First perlu diterjemahkan melalui kerjasama kerajaan negeri, parti komponen, penjawat awam, sektor swasta dan masyarakat dalam membangunkan ekonomi serta memperluas peluang kepada anak Sabah, tanpa mengabaikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya.

“Sabah memerlukan politik yang menyatukan rakyat, pembangunan yang seimbang dan pentadbiran yang mendengar suara masyarakat. Kita tidak perlu menjadi salinan GPS untuk menjadi kuat, sebaliknya membina GRS yang memahami Sabah, memperjuangkan hak negeri dan komited terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan GRS tidak seharusnya diukur berdasarkan kekuatan politik atau tempoh sesebuah kerajaan bertahan semata-mata, tetapi melalui keupayaannya memperkukuh institusi negeri, melaksanakan pembangunan secara berkesan dan memperoleh kepercayaan rakyat menerusi tadbir urus yang telus serta bertanggungjawab.-pr/BNN