KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian serius terhadap usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dalam mendepani cabaran era digitalisasi dan kecerdasan buatan (Al), termasuk memperluas penggunaannya di tempat awam serta memperkukuh pematuhan dalam urusan rasmi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata usaha itu turut merangkumi pemerkasaan pantun dan tulisan Jawi, penyelidikan pelbagai bahasa serta sastera etnik dan pengembangan industri buku yang menampilkan penulis dari Sabah.
“Saya juga mahu melihat anak-anak muda Sabah, para pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif tempatan memanfaatkan teknologi bagi menyuburkan penggunaan bahasa kebangsaan”, katanya ketika berucap merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2026 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sahaja memfokuskan pertumbuhan ekonomi, infrastruktur dan sektor strategik, malah turut menitikberatkan pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat yang berjiwa merdeka, beridentiti dan mempunyai jati diri kukuh.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan DBP dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha memartabatkan bahasa serta sastera kebangsaan menerusi pelbagai kegiatan, penyelidikan dan penerbitan.
Beliau turut menghargai usaha DBP memperluas penerbitan buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk karya yang menampilkan wajah tempatan, selain mengembangkan bakat penulis muda serta penyelidikan dan mendokumentasikan bahasa serta etnik tempatan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Hajiji berkata, kerajaan negeri berharap kerjasama dengan DBP, agensi berkaitan dan persatuan penulis dapat diperkukuh bagi menjadikan Sabah negeri suri teladan dalam pemupukan budaya ilmu dan pengembangan kesusasteraan dan penggunaan bahasa kebangsaan yang cemerlang.
Katanya, usaha mengangkat Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera perlu digiatkan dengan menyemarakkan pelbagai kegiatan bahasa dan sastera.
Beliau turut menyambut baik penganjuran Karnival Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita yang merangkumi wacana pemerkasaan bahasa dalam media, bicara tulisan Jawi dan pemantapan seni berpantun.
Hajiji berkata, generasi muda perlu menguasai pelbagai bahasa bagi meningkatkan daya saing tanpa mengetepikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, khususnya ketika berkomunikasi di platform media sosial.
“Kepada generasi muda, dalam rancaknya penggunaan dan komunikasi dalam pentas dan platform pelbagai media sosial, jiwa dan semangat mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan santun haruslah menebal.
Dalam ruang kebebasan bersuara dalam pelbagai medium, batasnya ialah kesantunan berbahasa dan bahasa yang baik,” katanya.
Mengulas tema BBK 2026, Bahasa Kita, Wajah Kita, Hajiji berkata, tema itu selaras dengan semangat Bahasa Jiwa Bangsa yang mengingatkan masyarakat bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi harian, sebaliknya cerminan identiti, jati diri, pemikiran dan keperibadian bangsa.
Katanya, penggunaan bahasa kebangsaan yang indah, terampil, beradab dan bersopan turut mencerminkan kematangan serta maruah bangsa bertamadun, sejajar dengan hasrat Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kemasyarakatan, kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat-menghormati dan keyakinan.
Beliau berkata, perpaduan kaum dapat diperkukuh melalui penggunaan bahasa kebangsaan secara berhemah dengan menghormati kepelbagaian kaum dan etnik, manakala penulisan, sastera serta media kreatif dapat menjadi wadah memupuk daya cipta dan melahirkan masyarakat berminda kelas pertama.
Dalam konteks Sabah, Hajiji berkata, kepelbagaian etnik, budaya dan dialek yang unik disatukan secara harmoni melalui bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu bertindak sebagai ejen penyatuan yang membolehkan rakyat Sabah yang berbilang kaum bertutur, memahami dan bekerjasama dalam suasana yang penuh muhibah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak bermaksud menutup ruang atau meminggirkan kepelbagaian bahasa ibunda serta etnik yang kaya di Sabah.
Hajiji mengajak seluruh rakyat memperteguh tekad menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.-pr/BNN





