KOTA KINABALU: Prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah meningkat kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan Sabah pada 10 Ogos, 2026 hanya berada pada paras 52.07 peratus.

Pada masa yang sama, sebanyak 291 projek pembangunan berjaya disiapkan di Sabah tahun ini, antaranya Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill, Penampang.

“Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya mampu untuk menjayakan pelaksanaan sesebuah projek dan prestasi positif ini wajar diteruskan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah di Menara Kinabalu hari ini.

Sehubungan itu, Hajiji mahu semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana mempergiat usaha bagi memastikan baki peruntukan pembangunan dapat dimanfaatkan secara optimum sebelum berakhirnya tahun kewangan 2026.

Katanya, perhatian khusus perlu diberikan kepada projek yang mempunyai baki peruntukan besar atau berdepan kekangan pelaksanaan sehingga berisiko mengalami kelewatan atau menjadi projek sakit.

Beliau berkata, isu berkaitan kelulusan teknikal, pengambilan tanah, pengalihan utiliti, perolehan dan pengurusan kontrak perlu dikenal pasti serta ditangani secara proaktif melalui penyelarasan berkesan antara agensi terlibat.

“Bagi isu rentas kementerian dan agensi, tindakan penyelesaian serta tempoh masa yang jelas perlu ditetapkan dan dipantau sehingga selesai.

“Saya ingin menegaskan bahawa setiap peruntukan pembangunan adalah amanah yang mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.

“Peruntukan yang diluluskan seharusnya menghasilkan kemudahan dan perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menyambut baik peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu, meningkat berbanding RM17.6 bilion tahun ini.

Beliau berkata, peningkatan itu mencerminkan keprihatinan berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan pembangunan Sabah, khususnya dalam memperkukuh kemudahan infrastruktur asas dan kesejahteraan rakyat.

Antara projek utama yang diberikan keutamaan ialah pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B selain usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik menerusi projek Sistem STATCOM di Dam Road dan Segaliud, Sandakan serta Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang.

Katanya, peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak juga merupakan langkah penting untuk meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran serta menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik kepada pelajar.

“Saya mahu agar semua kementerian dan agensi berkaitan mengambil langkah persediaan yang rapi bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut keutamaan serta jadual yang ditetapkan,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana supaya menjadikan mesyuarat MTPNg sebagai platform untuk mencari penyelesaian terhadap isu pelaksanaan projek, bukan sekadar membincangkan masalah yang dihadapi.

“Kita perlu bergerak daripada sekadar membincangkan masalah kepada tindakan yang lebih jelas.

“Saya yakin melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri serta komitmen seluruh jentera pelaksana, agenda pembangunan Sabah dapat terus dipacu secara mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan pembangunan negeri bukan hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan projek dilaksanakan, tetapi sejauh mana pembangunan itu mampu meningkatkan kualiti hidup dan menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah.

Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengalu-alukan kehadiran Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad, dan berharap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dilaksanakan dengan berkesan.-pr/BNN