TUARAN: Golongan belia bukan sekadar pemimpin masa depan, tetapi pemandu ekonomi dan agen perubahan utama yang diperlukan hari ini bagi menjayakan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata komitmen kerajaan negeri memperkasa belia akan diteruskan menerusi pelbagai bantuan, dana dan latihan kemahiran supaya anak muda bukan sahaja mencari pekerjaan, malah mampu mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain.

Katanya, tumpuan strategik turut diberikan bagi memastikan golongan muda dilengkapi kemahiran tinggi, termasuk menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memenuhi kehendak industri masa hadapan.

“Kerajaan negeri meletakkan agenda pembangunan belia sebagai salah satu keutamaan kerana golongan ini bukan sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi merupakan pemandu ekonomi dan agen perubahan utama yang kita perlukan hari ini untuk menjayakan aspirasi pelan pembangunan SMJ,” katanya ketika merasmikan Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 di Padang Istiadat Pekan Tuaran, hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) bagi 2026, merangkumi dana pembangunan modal insan, geran persatuan belia, sektor sukan serta usahawan belia menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).

“Selain itu, inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) turut diperuntukkan kepada golongan belia yang baharu mendirikan rumah tangga, manakala Pemikir Muda Ketua Menteri menyediakan platform bagi membolehkan belia Sabah terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta polisi pembangunan negeri.

“Dewan Belia Sabah pula menjadi platform penyatuan dan perwakilan belia untuk membincangkan isu serta hala tuju anak muda menerusi format pelaksanaan baharu di bawah seliaan kementerian berkaitan”, katanya.

Hajiji berkata, belia adalah aset penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negeri, dengan Sabah mempunyai anak muda yang berbakat, kreatif, berkemahiran dan mempunyai semangat tinggi.

Katanya, dasar dan inisiatif kerajaan negeri perlu diterjemahkan melalui program yang benar-benar menyentuh keperluan golongan belia.

Menyentuh penganjuran Karnival Tamu Belia Tuaran, beliau berkata, program itu membuktikan golongan belia bukan sekadar kumpulan yang bakal mewarisi tampuk kepemimpinan masyarakat dan negeri, malah rakan strategik kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi, sosial dan komuniti pada hari ini.

Beliau berkata, karnival itu menyediakan ruang kepada anak muda untuk berhimpun, berkongsi idea, mengetengahkan bakat, mengembangkan perniagaan serta membina jaringan kerjasama.

Katanya, tamu bukan sekadar tempat jual beli, sebaliknya sebahagian daripada khazanah kehidupan masyarakat Sabah yang menghubungkan peniaga, pengusaha kecil, petani, penggiat seni dan komuniti setempat.

“Apabila konsep tamu digabungkan dengan semangat dan kreativiti belia, kita dapat mewujudkan ruang yang lebih dinamik untuk aktiviti keusahawanan, kebudayaan, kesukanan, hiburan yang sihat serta perkongsian ilmu,” katanya.

Hajiji berharap karnival itu terus membuka peluang kepada belia memperkenalkan produk tempatan, mengetengahkan bakat seni dan budaya, menyertai pertandingan yang membina keyakinan diri serta menjalin hubungan antara komuniti.

Beliau berkata, aktiviti seumpama itu perlu menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk melahirkan belia yang berdikari, berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang kukuh, selain menghasilkan usahawan baharu, kerjasama perniagaan, peluang pekerjaan, jaringan komuniti serta idea yang boleh dikembangkan pada masa depan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus komited memperkukuh pembangunan negeri mengikut keutamaan, kemampuan sumber yang ada dan acuan tersendiri, sambil berharap anak muda Tuaran menjadi contoh kepada belia di daerah lain dari segi kreativiti, semangat kesukarelawanan, keusahawanan dan perpaduan masyarakat.

Katanya, kejayaan pembangunan belia turut bergantung kepada kesungguhan golongan itu sendiri, sokongan keluarga, komitmen komuniti dan kerjasama semua pihak.

Beliau berharap Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 mencapai objektifnya, memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembangunan belia di daerah Tuaran serta seluruh Sabah.-pr/BNN