KENINGAU: Pelbagai inisiatif bantuan pendidikan disediakan Kerajaan Negeri membuka lebih banyak peluang kepada anak negeri melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan keluarga.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Azman Haji Ruslan, berkata inisiatif berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam membela masa depan anak Sabah menerusi pembangunan pendidikan.
Beliau berkata, bantuan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) serta bantuan pendidikan menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri memperkukuh pembangunan modal insan.
Katanya, pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang amat penting untuk masa depan Sabah dan setiap anak negeri, tanpa mengira latar belakang keluarga serta kedudukan ekonomi, perlu diberikan peluang sama untuk mengejar cita-cita.
“Kita mahu setiap anak Sabah mempunyai peluang sama untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan profesional.
“Usaha ini bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, tetapi juga membina generasi masa depan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada kemajuan negeri,” katanya pada Majlis Penyampaikan Sumbangan Kewangan kepada 75 pelajar Keningau yang akan melanjutkan pelajaran di IPTA/IPTS di sini.
Azman yang juga Ketua Bahagian PGRS P.180 Keningau, menggalakkan ibu bapa, penjaga dan pelajar supaya mengambil peluang daripada pelbagai bantuan berkenaan dengan menyemak syarat kelayakan serta membuat permohonan menerusi saluran rasmi ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan pelajar yang berminat mendapatkan bantuan TPNS supaya tidak melepaskan peluang memandangkan permohonan Fasa III akan ditutup pada 31 Oktober 2026.
Katanya, lebih ramai anak Sabah diharap berpeluang melanjutkan pengajian dan seterusnya berjaya dalam pelbagai bidang profesional termasuk perubatan, kejuruteraan, pendidikan dan perundangan.
“Kejayaan mereka kelak merupakan kejayaan seluruh negeri Sabah,” katanya.
Beliau berharap inisiatif pendidikan dilaksanakan kerajaan negeri akan terus diperkasakan bagi memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan berkualiti.-pr/BNN





