KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan mutlak Sabah kepada sekitar tiga hingga lima peratus menjelang 2030, selain mengekalkan sifar miskin tegar secara mampan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sasaran itu memerlukan satu pelan tindakan lebih komprehensif, bersepadu dan berorientasikan keberhasilan, bukan sekadar menambah bilangan program atau bantuan kepada rakyat.

Beliau berkata, usaha itu turut memerlukan penetapan sasaran pengurangan bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun menerusi Pelan Pembasmian Kemiskinan Negeri Sabah 2027-2030.

“Berdasarkan laporan sistem eKasih setakat 15 Oktober 2026, Sabah masih merekodkan seramai 55,555 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin. Justeru, saya mahu angka ini dijadikan sebagai salah satu data asas bagi penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam pelan tersebut, dengan sasaran pengurangan bilangan KIR miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026, inisiatif dibawah Pelan Pembangunan SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, setiap kementerian dan agensi yang terbabit perlu menetapkan sasaran intervensi serta melaporkan keberhasilan sebenar dalam membantu isi rumah keluar daripada kemiskinan secara mampan.

Katanya, pembangunan Dasar atau Garis Panduan Exit Policy Kemiskinan Negeri Sabah yang jelas dan bersesuaian dengan keadaan sosioekonomi rakyat negeri ini juga perlu dibangunkan.

“Kita tidak boleh hanya mengukur kejayaan berdasarkan jumlah penerima yang dikeluarkan daripada senarai kemiskinan, tetapi perlu memastikan mereka benar-benar mempunyai keupayaan untuk berdikari dan tidak kembali terjerumus ke dalam kitaran kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata, indikator penilaian perlu diperhalusi dengan mengambil kira pendapatan isi rumah yang melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) secara konsisten, pekerjaan atau sumber pendapatan stabil, kediaman selamat, kemampuan memenuhi keperluan asas serta pemilikan aset produktif.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan “Exit Policy” bukan bermaksud bantuan kerajaan dihentikan secara automatik apabila pendapatan penerima melepasi garis kemiskinan.

Sebaliknya, mekanisme secara berperingkat, pemantauan berterusan serta sokongan bersesuaian perlu disediakan, khususnya kepada keluarga yang masih berisiko kembali miskin.

Hajiji berkata, semua program bantuan kerajaan termasuk Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), bantuan pendidikan, biasiswa, zakat, kebajikan, latihan kemahiran dan keusahawanan perlu diselaraskan dalam satu kerangka intervensi bersepadu.

Katanya, setiap kementerian dan agensi perlu mempunyai tanggungjawab jelas dengan penetapan agensi peneraju, tempoh pelaksanaan, sumber pembiayaan serta KPI yang benar-benar mengukur perubahan taraf hidup dan peningkatan pendapatan rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan meneroka sektor ekonomi biru seperti perikanan, akuakultur dan pelancongan marin bagi menjana pendapatan rakyat.

Katanya, institusi pengajian tinggi perlu melahirkan graduan berkemahiran tinggi, manakala pihak industri perlu mempergiat pelaburan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Dalam masa sama, katanya, nasib rakyat Sabah yang merantau ke Semenanjung Malaysia untuk mencari rezeki juga perlu diberi perhatian dengan memperbanyak peluang pekerjaan di negeri ini, agar mereka tidak lagi terpaksa berhijrah ke tempat lain.

Beliau turut mengingatkan semua kementerian, jabatan dan agensi bahawa tahun 2030 bukanlah satu tempoh untuk menunggu, sebaliknya sasaran yang menuntut tindakan bermula sekarang.

“Saya tidak mahu pelan ini sekadar menjadi satu lagi dokumen dasar yang tersimpan tanpa pelaksanaan yang berkesan. Sebaliknya, saya mahu setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan, setiap bantuan memberikan impak dan setiap ringgit yang dibelanjakan membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Sementara itu, menyentuh bidang pendidikan, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri terus memperkukuh pelaksanaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan meningkatkan peruntukan tahunan daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM160 juta pada 2026, iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda.

Katanya, jumlah peruntukan biasiswa bagi tempoh 2021 hingga 2026 mencecah RM625 juta, dengan seramai 16,207 pelajar menerima manfaat secara terkumpul sehingga tahun ini, termasuk 5,412 pelajar yang menerima biasiswa bagi 2026.

Beliau berkata, usaha itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian, tetapi juga pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan Sabah.-pr/BNN