KOTA KINABALU: Borneo Rainforest Lodge (BRL), yang terletak di Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, terus memperkukuh penglibatannya dalam komuniti pemerhatian burung dan fotografi hidupan liar menerusi penyertaan dalam dua festival utama di Sabah.

Dua acara berkenaan ialah Festival Burung Borneo Ke-16 2026 yang berlangsung di Rainforest Discovery Centre (RDC), Sepilok, serta Sony Alpha Mini Bird Festival 2026 di Taman Kinabalu.

Kedua-dua festival itu menghimpunkan peminat pemerhatian burung, jurugambar hidupan liar dan aktivis pemuliharaan bagi meraikan kepelbagaian spesies burung di Borneo selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara warisan alam semula jadi.

Pada Festival Burung Borneo yang berlangsung pada 7 dan 8 November lalu, BRL menyertai pertandingan Bird Race dengan menghantar dua pasukan.

Pasukan A diwakili Sabinus Sadah dan Emmanuel Peter, manakala Pasukan B terdiri daripada AK Shahrin dan Sherwood Mohd Adam.

Lebih membanggakan, Sherwood turut meraih tempat kedua dalam pertandingan Canon Borneo Wildlife Photo Contest yang menerima lebih 100 penyertaan.

Pencapaian itu mencerminkan kemahiran fotografi dimiliki pemandu alam BRL serta pengalaman dan hubungan rapat mereka dengan hutan hujan tropika dan hidupan liar.

Sementara itu, dalam Sony Mini Bird Festival yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November lalu di Taman Kinabalu, BRL diwakili empat pemandu alam iaitu Shahrin, Sabinus, Gilvenn Chong dan Jan Nicholas Jorry.

Mereka turut berkongsi minat terhadap fotografi burung serta mengetengahkan keunikan kepelbagaian spesies burung di Borneo.

Dalam festival itu, Jan berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan fotografi burung menerusi hasil karyanya yang memaparkan seekor burung madu Temminck betina (female Temminck’s Sunbird).

Kejayaan berkenaan mengiktiraf kemahiran beliau merakam keindahan hidupan liar Borneo menerusi lensa kamera.

Penyertaan BRL dalam kedua-dua festival itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk terus menyokong komuniti pemerhatian burung, menggalakkan perkongsian ilmu serta memupuk penghargaan terhadap hidupan liar di luar kawasan Lembah Danum.

Terletak di tengah-tengah hutan hujan tropika berusia kira-kira 130 juta tahun di Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, BRL dikelilingi kepelbagaian flora dan fauna, termasuk pelbagai spesies burung.

Melalui pengetahuan dan minat mendalam pemandu alamnya, BRL terus memperkenalkan keunikan ekosistem hutan hujan tropika kepada pengunjung, selain meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan melindungi biodiversiti.

Pencapaian itu menjadi kebanggaan seluruh pasukan BRL dan membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam mempromosikan apresiasi alam semula jadi, fotografi hidupan liar serta usaha pemuliharaan.-BNN