KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik di Sabah perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira usaha pengukuhan kapasiti penjanaan, sistem penghantaran dan pengagihan tenaga negeri, bukannya dijadikan modal politik untuk terus mempertikaikan kemampuan kerajaan.

Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, berkata insiden gangguan bekalan elektrik, termasuk kejadian menara penghantaran tumbang di Ranau, memang perlu dipandang serius, namun tidak wajar terus dijadikan kesimpulan bahawa kerajaan gagal.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah menafikan cabaran dalam sektor tenaga, malah pelbagai langkah sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti penjanaan dan memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di Sabah.

Katanya, peningkatan margin rizab penjanaan daripada lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos 2026 menunjukkan perkembangan yang perlu diakui, selain sasaran mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini merupakan sebahagian daripada perancangan berterusan untuk memperkukuh sistem tenaga negeri.

“Namun, peningkatan kapasiti penjanaan sahaja tidak menjamin bekalan bebas gangguan sekiranya sistem penghantaran, pencawang dan rangkaian pengagihan masih berhadapan cabaran teknikal.

“Justeru, usaha memperkukuh keseluruhan rangkaian tenaga perlu dilaksanakan secara bersepadu, termasuk memastikan infrastruktur penghantaran dan pengagihan lebih berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Wira WARISAN yang mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri mencapai sasaran margin rizab penjanaan elektrik 26 peratus menjelang akhir tahun ini, susulan gangguan bekalan elektrik berulang di Sabah.

Jerry berkata, projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu dan Southern Link antara inisiatif penting bagi memperkukuh sistem tenaga Sabah, khususnya dalam menangani keperluan bekalan serta meningkatkan keupayaan rangkaian antara kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur.

Beliau berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk membina sistem tenaga lebih berdaya tahan, dan pelaksanaannya perlu diberi perhatian bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat.

Pada masa sama, beliau berpandangan gesaan supaya kerajaan memberikan penjelasan dan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar adalah wajar, namun tindakan mempertikaikan kemampuan kerajaan secara berlebihan tanpa mengambil kira perkembangan semasa tidak membantu menyelesaikan masalah sebenar.

“Sabah memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, agensi teknikal, pemain industri dan pembangkang, untuk memastikan masalah bekalan elektrik dapat ditangani secara berkesan.

“Isu tenaga bukan perkara kecil kerana ia berkait langsung dengan kehidupan rakyat, operasi perniagaan, pembangunan industri, keyakinan pelabur dan peluang pekerjaan,” katanya.

Jerry berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sedang berusaha memperkukuh sektor tenaga Sabah melalui perancangan, pelaburan dan pelaksanaan projek strategik.

Katanya, rakyat sememangnya berhak mendapat bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai, justeru semua pihak perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian, memperkukuh infrastruktur tenaga serta mempercepat pelaksanaan projek dirancang, bukannya menjadikan setiap gangguan sebagai polemik politik.-pr/BNN