LAHAD DATU: Warga Sabah diseru menyertai dan bersama-sama dalam perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Hajj Noor berkata, sebagai sebuah platform politik baharu di Sabah, BERSATU membawa pendekatan politik yang inklusif untuk semua masyarakat di Sabah, khususnya kaum peribumi.
“Sejak dari awal penubuhan, BERSATU telah menzahirkan pengiktirafan kepada masyarakat peribumi di Sabah secara tersurat dalam Perlembagaan Parti itu sendiri.”
“Ini menjadikan BERSATU sebagai sebuah parti bertaraf nasional yang memastikan undang-undang tubuh parti meletakkan kedudukan pribumi Sabah pada tempat yang sewajarnya bertepatan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah”, katanya
Beliau berkata demikian pada Majlis Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah ke Bahagian Lahad Datu di Dewan Tun Mustapha, hari ini.
Hajiji berkata, berbanding parti politik nasional lain yang cenderung merujuk hanya kepada klasifikasi Melayu dan bumiputera secara keseluruhan, fasal 2 Perlembagaan BERSATU secara spesifik menakrifkan pribumi meliputi orang asal dan anak negeri Sabah.
Manakala, fasal 6.4 pula katanya secara tersurat menggariskan komitmen mempertahankan kedudukan istimewa anak negeri Sabah, sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai salah satu tujuan dan matlamat perjuangan parti.
“Ini menunjukkan sejak dari awal penubuhan, BERSATU telah dibentuk dengan mengambil kira aspirasi masyarakat di Sabah. BERSATU menjadi sebuah parti yang merangkumkan aspirasi serta jati diri nasional dan lokal.
“Justeru, salah satu keutamaan agenda gerak kerja BERSATU Sabah adalah untuk memastikan parti sentiasa berada pada landasan perjuangan yang digariskan dalam Perlembagaan Parti, khususnya perkara berkaitan hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
“Ini termasuklah perkara berhubung kait dengan Perjanjian Malaysia 1963, pembangunan saksama, keselamatan negeri dan isu pendatang asing tanpa izin”, tegas.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, pada masa yang sama, kita harus sama-sama berusaha memelihara dan melindungi kepentingan dan perpaduan nasional.
“Kedaulatan dan keutuhan persekutuan adalah teras kepada kemakmuran bersama”, tambahnya.
Beliau mengulangi seruan agar rakyat Sabah berfikiran lebih besar dan berpandangan jauh ke hadapan dengan bertunjangkan gagasan “Sabah untuk Malaysia” dan “Malaysia untuk Sabah”
Katanya, Sabah memerlukan hubungan yang baik dan akrab dengan Kerajaan Persekutuan demi kemajuan dan kemakmuran masa depan negeri ini.
“Hanya dengan adanya hubungan dan kerjasama yang erat diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, Sabah akan menikmati pembangunan yang berterusan disamping keselamatan yang terjamin”, tegasnya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Setiausaha Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Ketua Armada Negeri, Encik Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit, Ketua Bahagian Bersatu Lahad Datu, Haji Abdul Hakim Gulam Hassan dan Timbalannya, Datuk Haji Yusuf Haji Sarangit ( Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Bahagian Lahad Datu, Aljen Johnny ( Naib Ketua Bahagian Bersatu Bahagian Lahad Datu, Ketua Srikandi Bersatu Lahad Datu, Puan Mizma Haji Appehdullah dan Ketua Armada Bahagian, Encik Mohd Naraazri Hassan.-pr/BNN