Di mana silapnya? Nak bagi peluang mereka makan angin?

0
Dato Abd Lateh Hj Mohd Saman

KEDAH: Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad perlu menyiasat perbelanjaan tidak berhemah yang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melibatkan Projek “plot test” Padi Pulut yang dicadangkan untuk dilaksanakan di Langkawi.

Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Dato Abd Lateh Haji Mohd Saman berkata, perbelanjaan yang digunakan untuk “plot test” itu terlalu tinggi dan amat tidak wajar.

“Saya tidak mempertikai hasrat kerajaan untuk melaksanakan projek tersebut. Tetapi perbelanjaan untuk “plot test” tersebut yang memakan belanja berpuluh berkali ganda dari projek tersebut sekiranya jumlah perbelanjaan dikira secara terperinci.

“Ini amat tidak wajar kerana kewangan yang besar dibelanjakan hanya untuk “plot test” semata-mata. Ini adalah bertentangan dengan dasar berjimat cermat yang dilaungkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) “, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Lateh mengambil contoh, Menteri MOA yang turun ke Langkawi untuk projek itu sudah tentu akan membawa isterinya bersama untuk membela-belah (shopping).

Katanya, disebab Menteri MOA turun padang, maka Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Ketua Setiausaha Kementerian, Pengerusi-Pengerusi agensi dan Ahli Jemaah Pengarah (AJP), pegawai berjawatan besar dan kecil akan ikut sama.

“Justeru itu, semua mereka akan membawa isteri bersama memandangkan isteri Menteri MOA ikut sama. Maka program berasingan untuk isteri menteri juga perlu diatur.

“Pegawai-pegawai pengiring juga pasti akan bertambah. Pegawai di Langkawi tidak cukup untuk mengurus lawatan Menteri MOA sehingga perlu mengambil dari daratan.

“Kereta sewa untuk kegunaan pegawai-pegawai tinggi kementerian dan juga agensi-agensi di Langkawi juga tidak mencukupi dan perlu disewa dari daratan.

“Cuba bayangkan, berapa banyak kewangan yang perlu dibelanjakan hanya untuk program Menteri MOA meninjau Projek “plot test” Padi Pulut di Langkawi?”, soalnya.

Abd Lateh berkata, projek plot test itu sepatutnya diserahkan kepada pihak MARDI untuk dibuat kajian kesesuaian.

“Hanya pegawai MARDI dan Pegawai Pertanian sahaja yang membuat kajian tersebut, sebaliknya tidak perlu rombongan besar Menteri MOA dan semua pegawai kementerian dan agensinya turun ke Langkawi, sehingga perbelanjaan yang besar terpaksa digunakan untuk tujuan itu.

“Sebenarnya tujuan rombongan besar Menteri MOA bersama isteri turun ke Langjawi untuk memberi peluang mereka makan angin atau untuk tugas rasmi? Dimana silapnya?

“Sekarang rakyat telah mula mempersoalkan hasrat penjimatan kerajaan. Yang berlaku adalah sebaliknya.

“Justeru saya meminta Perdana Menteri menyiasat perkara ini dan memperbaiki cara pelaksaannya, supaya lebih berkesan pada masa depan”, tegas Abd Lateh.-pr/BNN