PENAMPANG: Mantan Timbalan Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri, Encik Sylvester J.Disimon mengisytiharkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Beliau telah menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah Peringkat Bahagian Penampang di Tintap Reverside View, Babagon Penampang, pada Ahad.
Sylverter juga merupakan mantan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB).
Selain Sylvester, Ketua BERSATU Bahagian Penampang, Senator Datuk John Ambrose (kanan) turut menyerahkan 200 borang keahlian baharu kepada Hajiji.
Dalam ucapannya, Hajiji mengajak rakyat Sabah khususnya kaum Pribumi khususnya di Penampang agar tidak ragu-ragu untuk menyertai dan bersama-sama dalam perjuangan BERSATU.
Katanya, BERSATU sebagai platform politik baharu di Sabah, membawa pendekatan politik yang inklusif untuk semua masyarakat di Sabah, khususnya kaum Pribumi.
“Sejak dari awal penubuhan, BERSATU telah menzahirkan pengiktirafan kepada masyarakat Pribumi di Sabah secara tersurat dalam Perlembagaan Parti itu sendiri.”
“Ini menjadikan BERSATU sebagai sebuah parti bertaraf nasional yang memastikan undang-undang tubuh parti meletakkan kedudukan Pribumi Sabah pada tempat yang sewajarnya bertepatan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah”, katanya.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, Perlembagaan BERSATU secara tersurat menggariskan komitmen mempertahankan kedudukan istimewa anak negeri Sabah, sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai salah satu tujuan dan matlamat perjuangan parti.-pr/BNN