MEMBAKUT:  Ahli-ahli dan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam kawasan Kimanis perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada calon Parti Warisan, Datuk Haji Karim Bujang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Kimanis.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, mereka perlu berbuat demikian bagi memastikan kemenangan calon Warisan dalam PRK itu.

Katanya, Warisan yang menerajui Kerajaan Negeri merupakan kawan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Persekutuan.

“Memandangkan PH dan Warisan adalah kawan yang akrab, kita mesti tolong.

“Ini tanggungjawab kita sebagai ahli komponen PH. Dalam saat begini (PRK), kita kena tolong kawan kerana calon Warisan ialah kawan kita, kerajaan PH kawan dengan Warisan maka kita kena turun dan berkempen.

“Justeru ahli-ahli dan penyokong BERSATU dalam parlimen Kimanis mesti  menyokong dan mengundi calon Warisan yang bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis.

“Kita perlu memastikan calon Warisan bukan sahaja menang malah memperolehi jumlah undi yang besar kali ini”, katanya semasa melawat bilik gerakan jentera BERSATU untuk PRK Kimanis di pejabat BERSATU Bahagian Kimanis, di Pekan Membakut, hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata,  jentera BERSATU termasuk  Srikandi dan Armada BERSATU sedang bekerja keras dan berkempen bagi memastikan Karim Bujang dipilih menjadi Ahli Parlimen Kimanis selepas 18 Januari 2020″, tambahnya.

Katanya, ahli-ahli dan penyokong BERSATU dalam kawasan Parlimen Kimanis perlu berkempen dan memastikan ahli-ahli keluarga mereka turut mengundi calon Warisan.

Hajiji berkata, ahli-ahli BERSATU hendaklah berkempen bermula dari ahli keluarga dan saudara mara kemudian dengan kawan-kawan demi kemenangan calon Warisan.

“Ahli-ahli BERSATU mesti menjalin kerjasama dan hubungan baik bersama ahli-ahli Warisan dan  gabungan PH dalam PRK Parlimen Kimanis demi mencapai kemenangan”, tegasnya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kimanis, ADUN Lumadan, Encik Matbali Haji Musah yang juga Ketua BERSATU Bahagian Sipitang dan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Kimanis, Ahmad Yusof, Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Kimanis, Puan Dayang Hairena Ag.Basir, Setiausaha Bahagian BERSATU Kimanis, Puan Hajah Surayah Haji Ibrahim.-pr/BNN

Hajiji (tengah, bertopi) bersama Mohd.Arifin, Matbali, Ahmad Yusof dan sebahagian jentera BERSATU PRK Kimanis.