KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Raub, Datuk Indera Mustapha Abd Hamid mengalu-alukan pengumuman kabinet baharu Kerajaan Persekutuan oleh Perdana Menteri (PM) ke 8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, Kabinet Kerajaan Persekutuan yang dianggotai oleh tokoh-tokoh politik berpengalaman, teknokrat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu amat dialu-alukan oleh ahli-ahli peladang.

“Kita yakin barisan kabinet baharu ini mampu membela nasib rakyat khususnya masyarakat peladang di negara ini dengan lebih berkesan”.

“Kita berharap PM dan team kabinetnya akan melakukan yang terbaik dengan memberi fokus kepada “peduli rakyat”, “cekap” dan “berintegriti””, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyokong kenyataan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Mohd.Nazri Abdullah yang menyambut baik kabinet baharu Kerajaan Persekutuan yang diumumkan oleh PM pada Isnin.

Mohd.Nazri Abdullah yang juga AJP Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah berkata, ahli-ahli peladang yakin dan percaya anggota kabinet baharu itu akan bekerja keras dalam membela nasib rakyat negara ini, termasuk warga peladang yang amat memerlukan pembelaan.

Beliau juga amat mengalu-alukan pelantikan sahabat baiknya Ahli Parlimen Beluran (Sabah), Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) yang baharu.

“Ahli-ahli peladang yakin dan percaya Ronald mampu membela nasib golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini”, katanya.

Mustapha berkata, ahli-ahli peladang meletakkan harapan yang tinggi keatas Menteri MOA yang baharu bagi membetulkan kepincangan yang berlaku dalam Pertubuhan Peladang (PP) khususnya di peringkat PPK, PPN dan juga Nafas.

Beliau berkata, Menteri MOA terdahulu yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bukan sahaja gagal mentransformasi PP, sebaliknya menjadikan PP sebagai alat untuk kepentingan politiknya.

Katanya, semasa Datuk Salahuddin Ayub mula menjadi Menteri MOA, beliau telah mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkannya seorang pemimpin yang sangat bijaksana dengan menyatakan banyak “sampah” dalam Nafas dan beliau akan membersihkannya.

“Akhirnya memang betul kenyataan Salahuddin, di mana beliau bukan sahaja tidak jumpa apa-apa sampah, malahan semasa dibawah pentadbiran Pakatan Nasional (PH) barulah nampak sampah yang dimaksudkan yang telah ditinggalkan oleh Salahuddin dan konco-konconya pemimpin Amanah yang dilantik oleh Salahuddin sendiri”, tegasnya.

Beliau berkata, ahli-ahli peladang berharap Ronald dapat membuat sesuatu dan membantu menyelesaikan kemelut yang kini dihadapi oleh PP”.

“Ini termasuklah pemimpin parti Amanah yang telah dilantik oleh Menteri lalu sebagai Pengerusi LPP dan Nafas serta di PPK seluruh negara”, tambahnya.

Mustapha juga berharap mana-mana lantikan politik yang telah dibuat semasa era Salahudin khususnya di agensi di bawah MOA agar secara sukarela melepaskan jawatan mereka seperti yang dilakukan oleh Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malalaysia (SPRM)

“Terutamanya Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Alimat dan konco-konconya dalam LPP. Mereka kena sedar bahawa Allah telah takdirkan mereka kini sudah menjadi pembangkang”, tegasnya.

Mustapha berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku dalam Nafas semasa dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sehingga menyebabkan Nafas mengalami kerugian berpuluh juta ringgit pada 2018.-pr/BNN