KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri digesa segera menyelesaikan masalah lambakan sayur di Kundasang sehingga menyebabkan lebih 300 peniaga sayur mengalamai kerugian.
Ketua Unit Kampong Lipasu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabulu, Encik Jailin Nazrin mengingatkan Kerajaan Negeri khususnya Menteri Pertanian dan Industri Makanan (KPIM) Sabah Datuk Wong Hong Jun @Junz Wong agar tidak lepas tangan dan membiarkan masalah itu berlarutan.
Katanya, masalah lambakan sayur di tanah tinggi itu disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain arahan daripada Kerajaan Negeri menerusi Sabah COVID-19 Command Centre.
Menurutnya, masalah itu berlaku dan semakin serius berikutan para pemborong sayur dari luar Kundasang tidak dibenarkan masuk dan memborong sayur di daerah itu.
Beliau berkata, lori-lori dari luar tidak dibenarkan beroperasi, masuk dan mengangkut sayur-sayuran di Kundasang atas arahan Kerajaan Negeri.
“Mengikut prosidur (arahan) PKP, rantaian makanan sepatutnya tidak boleh diganggu dan Kerajaan Negeri khususnya Sabah COVID-19 Command
Centre, sepatutnya patuh kepadanya seperti yang dilakukan di Semenanjung Malaysia bagi menyelesaikan masalah lambakan sayur di Sabah.
“Kerajaan Negeri khususnya KPIM, Sabah COVID-19 Command
Centre dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sepatutnya membantu permudahkan pengeluaran dan penghantaran rantaian makanan ini.
“Sayur-sayuran merupakan barangan keperluan (essential daily needs) oleh rakyat dan pengeluarannya adalah berterusan dan ianya mesti dijual kerana ia merupakan salah satu jenis makanan keperluan rakyat”, katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas laporan media bahawa lebih 300 peniaga sayur di Kundasan mengalami kerugian selepas berlakunya lambakan sayur berikutan pelaksanaan PKP.
Menurut Pengerusi Persatuan Penjaja Kundasang, Mariana Taliban, lambakan sayur semakin banyak apabila PKP memasuki minggu kedua.
Berikutan itu, mereka terpaksa mengambil inisiatif dengan menghantar semua sayur yang ada ke Kota Kinabalu untuk dijual separuh harga supaya ia tidak dibuang begitu sahaja.
“Selain itu, lambakan sayur yang tidak terjual ini juga diagihkan kepada beberapa kampung di dalam daerah Ranau. Langkah ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran tetapi sekaligus mampu membantu individu atau keluarga memerlukan khususnya yang tinggal di kawasan jauh daripada pekan atau bandar,” katanya.
Jailin berkata, ini merupakan masalah negeri kerana arahan dan keputusan dibuat oleh Kerajaan Negeri dan PBT sehingga menjejaskan rantaian makanan sedia ada.
Menurutnya, jika PKP dilanjutkan selepas 14 April, sudah tentu lebih ramai peniaga sayur dan petani di Kundasang dan daerah lain akan terjejas dan mengalami kerugian besar.
“Sedangkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah perlu memberi keutamaan kepada perkhidmatan keperluan (essentials services)”, tegasnya.
Beliau berkata, Junz Wong sepatutnya tahu dan sedar kerana perkara itu telah ditekankan semasa Mesyuarat Exco-Exco Pertanian bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Sebagai Menteri KIPM Sabah, Junz Wong sepatutnya membantu permudahkan rantaian makanan di Sabah agar ianya tidak terganggu selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan”, tegasnya.
Sementara itu, semua aktiviti berkaitan dengan pertanian dan memancing, termasuk kilang, dibenarkan beroperasi semasa PKP memandangkan negara memerlukan makanan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat kekeliruan terhadap perkara ini.
“Mereka bertanya jika ada aktiviti pertanian dibenarkan. Bolehkah mereka memancing? Mereka boleh, “katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.-pr/BNN