KUALA LUMPUR: Pengurusan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia tidak patut melengah-lengahkan pertukaran balik pegawainya yang telah dipinjamkan sebagai Pengurus Besar (GM) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah.
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN, Datuk Ng Loi Tect berkata, Ketua Pengarah (KP) Puan Azulita Salim dan Pengarah Khidmat Pengurusan LPP Malaysia, Puan Nor Faezah sepatutnya telah mengambil tindakan membuat pertukaran Cik Catherina Edward
Beliau berkata, pertukaran balik pegawai itu perlu disegerakan selaras dengan keputusan mesyuarat AJP PPN Sabah pada 25 Jun 2020.
Katanya, Pengarah LPP Sabah, Puan Anita Misuari yang turut hadir pada mesyuarat itu telah memaklumkan mengenai perpindahan balik pegawai itu.
“Cik Catherina perlu segera ditukar balik ke LPP berikutan banyak aduan yang diterima daripada pemimpin dan ahli-ahli peladang Sabah bahawa beliau gagal mentadbir PPN dengan baik.
“Saya ingin bertanya kepada Azulita dan Nor Faezah, bila surat pertukaran atau penarikan balik pegawai LPP yang telah dipinjamkan ke PPN Sabah akan dikeluarkan.
“Kenapa proses pertukaran balik Catherina begitu lambat dibuat? Apa motif sebenar mereka melengah-lengahkan pertukaran tersebut”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ng berkata, sekiranya Azulita dan Nor Faezah masih melengah-lengahkan pertukaran balik Catherina, beliau tidak akan teragak-agak untuk memaklumkan perkara itu kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee dalam pertemuan nya dengan YB Menteri MAFI esok di Kuala Lumpur.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas itu berkata, PPN sebelum ini telah menggesa KP LPP agar segera menukar pegawai itu ke LPP berikutan keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat AJP PPN.
*Katanya, Azulita dan Nor Faezah jangan lupa surat Jabatan Peguam Negara Malaysia PN(ADV)2/18 Pt. II bertarikh 25 Mei 2005 kepada Penasihat Undang Undang MAFI atas tajuk Peminjaman Pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang ke Pertubuhan Peladang.*
Catherina merupakan pegawai LPP yang dipinjamkan ke PPN Sabah.
Ng mendakwa, GM PPN telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya yang diamanahkan semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu.
Katanya, para perwakilan dan pemimpin PPN Sabah merungut kerana GM PPN gagal mengurus perjalanan mereka ke Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Kuala Lumpur awal tahun ini.
Menurutnya, mereka kesal kerana urusan pembelian tiket kapalterbang perwakilan sebelum ini telah diatur sendiri oleh PPN, tetapi PPN tidak buat dan Catherina telah mengarahkan PPK masing-masing mengurus sendiri urusan perjalanan mereka.
“Sedangkan bajet untuk menghadiri MAT Nafas telah diluluskan semasa MAT PPN Sabah”, tegasnya.-pr/BNN