KAMPONG LANTING BEAUFORT: 6 Ogos setiap tahun begitu significant kepada warga peladang seluruh negara, kata Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah.

Katanya, tarikh keramat itu diisytiharkan sebagai Hari Peladang oleh Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein.

Perdana Menteri Malaysia kedua telah mengisytiharkan tarikh 6 Ogos setiap tahun sebagai Hari Peladang sempena pelancaran penubuhan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), pada 13 Ogos 1973.

“Hari Peladang merupakan hari yang istimewa kepada warga peladang seluruh negara bagi memperingati jasa dan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi negara.

“Sumbangan sektor pertanian begitu penting dan sentiasa menjadi keutamaan kepada kerajaan kerana pertanian merupakan salah satu teras pembangunan negara selain industri-industri yang lain”, katanya dalam perutusan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang akan disambut pada 6 Ogos, setiap tahun oleh warga peladang.

Mohd Nazri yang juga Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berkata, warga peladang di negara ini perlu berasa bangga kerana mereka memainkan peranan begitu penting dalam menghasil dan mengeluarkan bahan makanan untuk keperluan negara, malah sebahagiannya turut dieksport ke luar negara.

*”Warga peladang sebenarnya adalah wira kepada negara. Ini kerana selama ini warga peladang tetap terus mencurah bakti dan kekal berjuang demi memastikan keselamatan serta kecukupan sumber makanan negara” tegasnya lagi.

Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan pada 6 Ogos ini, Mohd.Nazri mengucapkan Selamat Hari Peladang, Penternak dan Nelayan kepada seluruh warga peladang di Malaysia.

“Harapan saya dan ahli-ahli peladang ialah agar Kerajaan menghargai sumbangan peladang kepada negara. Sementara warga peladang juga perlu terus mentransformasi diri agar sektor peladang terus dinamik dan berdaya maju”, tambahnya.-pr/BNN