KOTA KINABALU: Kemenangan 5 orang Ketua Bahagian Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dari Sabah dalam pemilihan bagi penggal 2019 hingga 2022, membuktikan kepimpinan mereka diterima oleh ahli-ahli parti.
Ketua Armada Negeri Sabah, Encik Mohd.Isquzawan Datuk Seri Arsit berkata, kemenangan itu juga merupakan satu pengiktirafan kepada BERSATU negeri Sabah, yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Ini merupakan satu amanah yang besar yang akan dipikul oleh mereka terutamanya dalam menyatupadukan dan merapatkan lagi saf kepimpinan dan ahli-ahli Armada seluruh negara.
“Dengan ramai pemimpin Armada Sabah dalam exco Armada Nasional, sudah pasti suara dan aspirasi ahli-ahli Armada dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang akan memberi faedah kepada ahli-ahli parti keseluruhannya”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas keputusan pemilihan Exco Armada Nasional yang diadakan pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Armada Sabah, Ceaser Mandela Malakun memenangi jawatan Naib Ketua Armada Nasional, manakala Ketua Armada dimenangi oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Sementara 4 lagi Ketua Armada Bahagian yang dipilih sebagai exco. Mereka ialah Abqaree Fawwaz Abekan (Sepanggar), Rosdi Abd Ghani (Ranau), Johainizamshah Johari (Kinabatangan) dan Henry Hamdan (Ketua Penerangan Libaran).
Armada Negeri Sabah mengucapkan tahniah kepada ketua-ketua Armada bahagian yang menang dalam pemilihan kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata seramai 9,496 orang perwakilan telah mengundi ketika persidangan tahunan ARMADA bahagian di seluruh negara semalam.
“Daripada 173 bahagian ARMADA yang layak bersidang, 164 telah berjaya mengadakan persidangan manakala sembilan bahagian gagal bersidang kerana ketiadaan korum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya pada pemilihan julung kali diadakan itu, perwakilan turut memilih Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan 15 Ahli Jawatankuasa ARMADA.-pr/BNN