TENOM: Pegerakan Wanita UMNO Bahagian Tenom mengulangi seruan dan pendirian agar kedua-dua penyandang “incumbent” Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong dan parlimen Tenom dikekal dan dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 akan datang.
Ketuanya, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan berkata, dia secara peribadi dan Pergerakan Wanita UMNO secara rasminya sudah berulang kali menyatakan sokongan dan pendirian itu.
“Seperti saya katakan sebelum ini, ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang dan MP Tenom, Datuk Raimie Unggi perlu dan harus dikekalkan, kerana mereka telah melaksanakan tugas serta amanah dengan begitu `fantastik’ selama ini, berganding bahu membela nasib rakyat, mendapatkan dana dan peruntukan pembangunan, demi untuk rakyat Tenom yang diwakili”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pergerakan Wanita Umno Bahagian Tenom Bersama Rakyat `Dihatiku’ di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mansasoh, Kemabong, semalam.
Turut hadir ialah Rubin yang juga Ketua Umno Bahagian Tenom dan Raime yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Encik Juli Malik Hussin, Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Encik Jamawi Jaafar.
Rahmahjan berkata, Rubin sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Getah Sabah (LTGS) dan Ahli Lembaga Pengarah FAMA, manakala Raime selaku Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, diberi kepercayaan oleh Ketua Menteri.Tan Sri Musa Aman, nyata telah menunaikan tangggungjawab dengan penuh cemerlang dan berdedikasi.
“Banyak kemajuan dan pembangunan dibawakan oleh kedua-dua mereka di kawasan Tenom. Rakyat sendiri dapat melihat dengan mata sendiri, hasil perjuangan dibawa kedua-dua pemimpin ini”, tegasnya.
Menurutnya, dia dan Wanita UMNO Tenom lantang mempertahankan kedua-dua mereka disebabkan gandingan Rubin dan Raime tiada galang-gantinya, dari segi perkhidmatan untuk rakyat.
“Kita perlu melihat dalam perspektif luas lagi menyeluruh, bukan sekadar mengintai dengan sebelah mata, hasil perjuangan mereka. Mungkin apa yang dilakukan tidak sempurna semuanya, tetapi jangan dinafikan sumbangan yang besar tatkala melihat hal-hal yang kecil.
“Yang penting, mereka melaksanakan apa yang termampu, justeru rakyat perlu juga bersabar menantikan hal yang belum tertunaikan”, tambahnya.
Sehubungan dengan itu,Rahmahjan berharap agar jangan ada di kalangan ahli-ahli Umno terpedaya dan terperangkap dakyah pihak tertentu yang cuba menanguk di air keruh, termasuk dari dalam parti sendiri.
“Jangan kita terbawa-bawa rentak pembangkang, yang sentiasa mengintai ruang dan peluang. Pihak pembangkang sekadar bermain politik murahan, menghentam peribadi dan personaliti, semata-mata untuk survival politik”, katanya
Sebaliknya, Rahmahjan mengajak ahli-ahli UMNO agar satukan hati, kuatkan barisan, teguhkan pertahanan, untuk menghadapi musuh politik sebenar dalam PRU ke-14 akan datang.
Mengenai Program Wanita Tenom Bersama Rakyat `Dihatiku’ beliau berkata, ia antara pendekatan wanita UMNO menyelami denyut nadi rakyat di peringkat akar-umbi.
“Saya lakukan ini semua sebagai menggalas amanah yang sering dipesankan oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman, supaya terus turun padang mendekati akar-umbi sepanjang masa, dan bukan bermusim seperti waktu menjelang pilihan raya sahaja.
“Saya menggalas amanah ini dengan penuh keinsafan dan keikhlasan, bahawa niat hati nurani kita adalah untuk melihat kemajuan anak bangsa kita di Tenom ini, biarpun letaknya terperosok jauh di pedalaman”, tegasnya.
Katanya, Wanita Umno Tenom ikhlas mengembleng usaha pemantapan parti Umno, kerana sayangkan parti keramat itu yang juga tempat kita berpayung teduh, sejak dari dahulu hingga sekarang.-pr/BNN