KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno sentiasa konsisten dalam perjuangan dan komited merealisasikan saranan pucuk pimpinan parti mencapai kemenangan dalam PRU-14, kata Ketua Wanita Umno Tenom, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan.
Sehubungan itu, katanya, Wanita Umno berikrar untuk mengembleng usaha bersama dengan sayap Pemuda dan Puteri dalam mengatur strategi holistik demi mencapai sasaran kemenangan majoriti dua pertiga kelak.
“Kemenangan besar ini tidak mustahil untuk dicapai, malah kita pernah mencatatnya dahulu, justeru dengan pendekatan bersepadu semua pihak, kita yakin Umno dan BN akan melakar kejayaan manis pada PRU-14,” katanya ditemui pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 di PWTC.
Rahmahjan diminta mengulas intipati Taklimat Presiden dan intipati ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika perasmian serentak perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, pada Selasa malam.
Menurutnya, jentera Wanita Umno khususnya di Bahagian Tenom sudah siapsiaga dan sedia diaktifkan sejurus wisel pilihan raya ditiup.
“Kita boleh masuk gelanggang pilihan raya bila-bila masa, kerana jentera kita sudah lengkap dan program simulasi sudah diadakan bagi melihat keberkesanannya,” katanya, sambil menegaskan program menyantuni akar-umbi dijalankan secara berterusan menerusi Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus bersama rakan komponen lain.
Sehubungan itu, katanya, semua ahli parti perlu meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan berbanding kepentingan diri atau kelompok.
Menurutnya, Wanita Umno turut memainkan peranan besar mendekati golongan pengundi luar bandar termasuk golongan wanita, dengan menyebarkan fakta untuk menangkis auta pembangkang.
“Tidak syak lagi bahawa sayap Wanita UMNO merupakan faktor utama kelangsungan parti sejak 71 tahun lalu, ” katanya, sambil merujuk daripada kira-kira 3.6 juta anggota parti, separuh adalah wanita.
Untuk itu, kata beliau, fokus semua pihak kini adalah untuk memastikan persiapan parti menghadapi PRU-14, manakala soal calon diserahkan kepada pucuk pimpinan parti menentukannya.-pr/BNN