KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah,Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini membidas mantan pengerusi pro-tem DAP Labuan, Lau Seng Kiat agar tidak sibuk mencampuri urusan UMNO Sabah.
Katanya, soal perjuangan anggota Bumiputera bukan Islam dalam UMNO Sabah tidak ada kaitan dengan urusan DAP.
Beliau berkata, UMNO yang sudah bertapak lebih 25 tahun di Sabah telah banyak menabur bakti dan jasa di Sabah terutama dalam membangun negeri dan membela nasib rakyat.
“Justeru UMNO Sabah menjadi pilihan Bumiputera bukan Islam untuk bersama-sama berjuang dan berkhidmat kepada rakyat kerana mereka yakin dan percaya dengan perjuangan UMNO”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Lau di media massa yang meminta anggota Bumiputera bukan Islam dalam UMNO agar meninggalkan parti tu.
Hajiji yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran berkata, UMNO Sabah tidak pernah mensisihkan anggota Bumiputera bukan Islam dalam parti itu.
“Mereka menerima layanan dan hak yang sama seperti anggota UMNO yang beragama Islam. Mereka bebas bertanding jawatan dalam pemilihan parti malahan memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian seperti Senator Datuk John Ambrose, mantan Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rubin Balang.
“UMNO Sabah ikhlas berjuang membela dan membantu rakyat Sabah terutama di peringkat akar umbi menerusi cawangan-cadangan UMNO.
“UMNO Sabah berbeza dengan DAP yang tidak mempunyai bahagian dan cawangan di seluruh Sabah. Justeru DAP tidak dapat berkhidmat kepada seluruh rakyat negeri ini”, tegasnya.
Hajiji yakin, anggota UMNO dari kalangan Bumiputera bukan Islam akan terus bersama-sama kepimpinan baru parti berjuang dan berkhidmat kepada rakyat.-Oleh L.S Kuang/BNN