Perutusan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal sempena Hari Malaysia 2018

0
Datuk Seri Shafie Apdal-Pix YouTube

Assalamuallaikum dan Salam Sejahtera,

Pertamanya, saya ingin merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana berpeluang dan berkesempatan untuk menyampaikan perutusan khas bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun 2018 ini.

Sesungguhnya, saya berasa amat bertuah dan gembira dapat menyampaikan amanat ringkas di hari yang penuh bersejarah ini, dan seterusnya meraikannya bersama-sama semua rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

Bagi kita di negeri Sabah, sambutan Hari Kebangsaan ini mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan sistem berkerajaan Persekutuan, apatah lagi kini di bawah lindungan kerajaan Malaysia Baru.

Sambutan Hari Malaysia ini bukan saja mengingatkan kita tentang identiti kebangsaan sebagai rakyat Malaysia, tetapi lebih penting untuk bersama-sama membawa negara ini ke mercu jaya. Kita sudah sekian lama bebas daripada belenggu penjajahan bangsa asing, ini bermakna tanggungjawab untuk menentukan arah tuju masa hadapan negara adalah di tangan kita sendiri.

Apabila kita mencapai pemerintahan sendiri, kita bebas untuk membuat keputusan sendiri, bebas untuk membina negara mengikut acuan sendiri dan bebas untuk memilih kerajaan baru secara aman.

Tahun ini, kita menyambut Hari Malaysia dengan penuh semangat kemerdekaan. Rakyat Malaysia telah berjaya mencapai sesuatu yang amat signifikan di mana kita merdeka daripada cengkaman rasuah dan mempunyai harapan baru untuk masa hadapan yang lebih cerah.

Marilah bersama-sama pimpinan kerajaan baru, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri, membawa sinar perubahan yang diimpikan oleh kita semua, bagi menerangi masa depan untuk semua tanpa mengira kaum atau agama.

Sesetengah pihak giat mempertikaikan tarikh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia walaupun kita sedia maklum bahawa tertubuhnya negara Malaysia pada 16 September 1963. Janganlah kita terlalu terpengaruh dengan emosi sehingga kita terlupa apa yang lebih penting adalah untuk menyelami makna kemerdekaan dan menterjemahkannya kepada tindakan dan perbuatan kita sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara.

Justeru, pada detik keramat ini, saya ingin mengajak rakyat Malaysia sekalian, khususnya di negeri Sabah, supaya terus komited kepada semangat kemerdekaan itu sendiri, untuk membina sebuah kerajaan yang kukuh, makmur dan bersatu padu. Hakikat ini mengambil kira kepelbagaian negara Malaysia yang dihuni beraneka budaya, suku kaum dan kepercayaan agama.

Kejayaan kita bergantung kepada perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan kerana jika kita biarkan isu perkauman menyebabkan negara berpecah, maka kita tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kegemilangan.

Dalam konteks Sabah, kerajaan negeri yang baru ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas pemilihan negeri Sabah sebagai tuan rumah meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Sambutan ini mempunyai signifikan besar dan makna tersendiri bagi negeri Sabah, dan juga Sarawak, sejak pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Dalam meraikan sambutan Hari Malaysia, saya ingin mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk memperkasakan hubungan antara kerajaan negeri dan Pusat yang merupakan faktor penting mencapai kemajuan tamadun sebuah negara bangsa.

Sesungguhnya, hubungan antara Kota Kinabalu dan Putrajaya harus utuh dan padu demi kemajuan Malaysia sejati. Laut China Selatan tidak harus jadi pemisah, sebaliknya menjadi penyatu bagi sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat.

Oleh yang demikian, kerajaan Sabah akan terus berunding dan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperhebatkan lagi agenda pembangunan negeri ini selain memastikan segala hak dan kepentingan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dijunjung bersama.

Bercakap mengenai Sabah, saya juga ingin menegaskan komitmen kita untuk melonjakkan pembangunan dan ekonomi negeri ini, dengan tumpuan kepad usaha mengukuhkan kedudukan kewangan menerusi perancangan dan pengurusan fiskal.

Sejak kerajaan baru ini mengambil alih pemerintahan negeri, sudah banyak pelabur menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini, khususnya dalam sektor-sektor strategik.

Dalam pada itu, pengurusan sumber-sumber ekonomi berasaskan komoditi juga akan dimantapkan, sambil kira mengemaskini jentera dan pentadbiran kerajaan di pelbagai jabatan dan agensi secara berperingkat. Matlamatnya adalah untuk memperbaiki sistem penyampaian dan mengurangkan karenah birokrasi.

Akhirnya, sempena dengan sambutan Hari Malaysia ini, saya ingin sekali lagi mengajak rakyat sekalian supaya mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian demi kestabilan politik dan kemakmuran bersama.

Jangan jadikan perbezaan sebagai penghalang untuk kemajuan. Sebaliknya, raikan perbezaan itu untuk mencari titik persamaan. Kepelbagaian agama, budaya dan tradisi sebenarnya adalah aset bernilai tinggi dan merupakan sumber kekayaan nilai sebuah negara bangsa yang merdeka.

Selamat Merayakan Hari Malaysia, kepada seluruh rakyat Malaysia.-pr/BNN