Dulu sangat sukar bangunkan NAFAS, kini NAFAS berjaya, tetapi dimusnah oleh Hamzah -KP LPP

0
Dato Mohd.Nazri Abdullah
KAMPUNG LANTING, BEAUFORT : Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pada mulanya merupakan sebuah persatuan (kemudiannya dikenali sebagai pertubuhan) yang sahamnya dimilik oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di negara ini.
PPN pula dimiliki oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli-ahli perseorangan di unit-unit peladang di kampung-kampung di kawasan luar bandar.
NAFAS bergerak sendiri dengan menggunakan duit pemegang saham,  tanpa mendapat peruntukan dana oleh kerajaan. Ramai orang awam beranggapan bahawa NAFAS adalah sebuah agensi kerajaan.
“Sebenarnya tidak. NAFAS adalah sebuah entiti sendiri yang didaftarkan dibawah Akta 109, 1973 di mana Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bertindak sebagai pendaftar. Sementara LPP bergerak dibawah Akta 110.
“NAFAS dan LPP adalah dua organisasi yang berbeza dan NAFAS tidak bertuankan LPP kerana LPP hanya sebagai pendaftar dan bukan pemegang saham”, kata Pengerusi PPN Sabah, Dato Mohd.Nazri Abdullah dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang pernah menjadi Ahli Jemaah Pengarah  NAFAS selama 23 tahun bermula 1995 sehingga perlembagaan NAFAS digantung ketika mengimbau sejarah awal penglibatan NAFAS dalam perniagaan sehingga berjaya pada masa kini berkata,  dahulunya NAFAS sangat susah.
“Pada tahun 1984, masa itu mahu membayar gaji pekerja pun susah. Pada tahun 1985 Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah memberi NAFAS kontrak membekal baja subsidi secara rundingan terus (direct negotiation).
“Pada tahun 1997, Menteri Kewangan juga meluluskan pelepasan cukai NAFAS sebanyak RM18 juta.  Manakala dalam tahun 1998 DSAI meluluskan kontrak membekal beg plastik baja 30% kepada NAFAS”, katanya.
Mohd.Nazri berkata, DSAI kemudiannya turut meluluskan pembayaran hutang tertunggak Kerajaan kepada NAFAS berjumlah lebih dari RM250 juta.
Beliau berkata, NAFAS kemudiannya dari tahun ke tahun secara perlahan-lahan berkembang maju hasil daripada urusan yang cekap oleh Dato’ Bukhari Mohd Sawi sebagai Pengurus Besar (GM) dan dengan sokongan pimpinan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, kemudian Dato’ Sri Saipolbahari Haji Suib mengetuai Ahli Jemaah Pengarah (AJP).
Menurutnya, selepas itu NAFAS telah diurus oleh Dato’ Ab Rahman Ismail dan Haji Nordin Ibrohim. Mereka berdua juga dapat mentadbir NAFAS dengan baik sehingga mendatangkan keuntungan yang meningkat dari tahun ke setahun.
LPP  bermula  dari 14  Februari 1973 dipengerusikan oleh YBM Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen sebagai Pengerusi pertama.  kemudian 1 September 1973 hingga 31 Mac 2001 dipengerusikan oleh Tan Sri Mustafa Jabar.  1 April 2001 hingga 31 Mac 2007  diketuai oleh Dato’ Dr . Alang Perang Zainuddin Abdul Rahman,  1 April 2007 hingga 31 Mac 2010 -Tan Sri Abu Zahar Ujang sebagai Pengerusi,  1 Jun 2010 hingga 31 Mei 2018 -Tan Sri Zainal Dahalan sebagai pengerusi dan 1 November 2018 hingga kini Dato’ Mazlan Aliman.
Bermula  dari 21 Februari  1973 hingga 30 April 1979 -Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid adalah KP pertama LPP, kemudian Haji Khairi Mohamad, Abdullah Ujang, Dato Khalid Haji Husin, Dato Pahamin Rajab, Dato A. Rahim Rahmat, Dato Haji Nozir Ahmad Hussein, Dato Haji Abd Rahim Ahmad, Dato Hajah Mariam Mas Yaacob, Dato Arpan Shah Satu, Dato Haji Mohd Salim Haji Mohd Taha dan Hamzah Bahari.
“Saya mengenali secara dekat mantan-mantan KP LPP dari Dato A Rahim Rahmat hingga ke Dato Haji Mohd Salim Taha kerana saya terlibat sebagai pemimpin peladang dari zaman mereka hingga kini (tahun 1993 hingga kini).
” Mereka semua sangat memahami perjalanan NAFAS dan sentiasa menyokong usaha NAFAS untuk berjaya, supaya boleh menjadi entiti yang kuat untuk Pertubuhan Peladang di Malaysia”, katanya.
Katanya, bermula daripada KP LPP pertama hingga ke 11 iaitu dari Tun Ahmad Sarji (21 Feb 1973) hingga ke Dato Haji Salim Taha (22 Mac 2017) semuanya turut membangunkan NAFAS sehingga menempah nama besar di tanah air Malaysia.
Dato Haji Salim telah meneruskan legasi kejayaan NAFAS dan membantu meningkatkan  keuntungannya kerana beliau memahami perjalanan NAFAS.
“Tetapi KP LPP (Hamzah Bahari) yang dilantik memegang jawatan itu bermula dari 22 Mac 2017 sehingga akan bersara wajib pada 3 Mac 2019.  Hanya selama dua tahun sahaja menjadi KP LPP, beliau telah memusnahkan NAFAS dengan menggantung perlembagaan NAFAS. Satu jasa yang tidak akan dilupakan oleh ahli-ahli peladang seluruh negara hingga ke akhirat”, tegasnya.
“Biasanya sesuatu institusi digantung perlembagaannya apabila ia mengalami  kerugian. Tetapi KP LPP menggantung Perlembagaan NAFAS dalam keadaan NAFAS meningkat untung.
“Apa muslihat Hamzah mahu musnahkan NAFAS ? Kenapa beliau tidak fikir nasib 14 PPN selaku pemegang saham NAFAS. 276 PPK dan hampir satu juta ahli perseorangan PP yang mendokong NAFAS” tegasnya.
Katanya, NAFAS terus bergerak maju dan secara perlahan-lahan daripada sebuah pertubuhan yang susah menjadi pertubuhan yang mencatat keuntungan.
Mohd Nazri mengambil contoh dari tahun 2007 hingga 2017, NAFAS terus mencatat keuntungan yang sangat memberangsangkan.
Rekod keuntungan perniagaan NAFAS selama 10 tahun berdasarkan buku laporan Mesyuarat Agong NAFAS dari tahun 2007 hingga 2017 adalah seperti berikut.
1. 2007 – RM 42,251,968.
2. 2008 – RM 41, 840,753.
3. 2009 – RM 157,177,982.
4. 2010 – RM 148, 529,190.
5. 2011-  RM  83,640,440.
6. 2012 – RM 159,095,502.
7. 2013 – RM 155.17 juta
8. 2014 – RM 154.93 juta
9.  2015 – RM 136.76 juta
10. 2016 – RM 149.05 juta
11. 2017 – RM 134.60 juta
“Justeru NAFAS berjaya dalam perniagaan selain usahanya sendiri, faktor utama ialah kerana mendapat kontrak kerajaan atas pertolongan DSAI, mantan-mantan Menteri Kewangan dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia”, tegasnya.
Mohd. Nazri turut mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada DSAI, mantan dan pengerusi LPP sekarang, mantan KP sehingga Dato Salim Taha. Disamping itu, GM NAFAS,  Dato Bukhari, Dato Ab Rahman dan Haji Nordin Ibrohim serta rakan-rakan AJP  NAFAS dan Pengerusi PPN, PPK serta ahli-ahli peladang seluruh negara atas jasa dan sumbangan mereka kepada NAFAS.-pr/BNN