KOTA KINABALU: Semua pihak diminta menjadikan aktiviti membantu golongan tidak bernasib baik sepanjang bulan Ramadan ini sebagai budaya sepanjang tahun.
Adun Usukan, Datuk Japlin Akim berkata berkata, amalan seperti itu tidak wajar cuma diadakan pada bulan Ramadan sahaja.
Menurut beliau, ini kerana golongan tidak bernasib baik seperti keluarga daif dan miskin, ibu tunggal serta anak-anak yatim memerlukan pembelaan sepanjang masa.
“Kita sememangnya gembira dengan budaya beramal dengan penganjuran begitu banyak program bagi menyalur bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik.
“Namun, pada masa yang sama, kita amat berharap golongan ini dapat dibela dan diberi perhatian sepanjang masa, tidaklah terhad pada bulan Ramadan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa di Masjid Kampung Peladok, Kota Belud semalam.
Hadir sama Ketua Penaja Srikandi Bersatu Kota Belud, Hasrina Golkan, Ketua Penaja Armada Bersatu Kota Belud, Fairuz Renddan serta ahli jawatankuasa Srikandi Bersatu dan Armada Bersatu Kota Belud.
Japlin yang juga Ketua Penaja bahagian Bersatu Kota Belud berkata, budaya memberi bantuan kepada golongan tidak bernasib baik itu sebenarnya merupakan satu budaya yang cukup unik di negara ini.
“Ia jelas menunjukkan bukan sahaja kerajaan, tetapi juga badan-badan korporat dan pertubuhan mempunyai semangat bantu-membantu yang cukup tinggi.
“Tidak banyak negara yang mempunyai budaya seperti ini dan kita perlu meneruskannya sebagai salah satu tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam majlis itu, Japlin dan Hasrina menyampaikan sumbangan lampu led, aircond dan kipas angin untuk kegunaan Masjid Kampung Peladok, Kota Belud.
Dalam bulan Ramada ini, Adun Usukan, Datuk Japlin turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin semasa beliau menghadiri majlis berbuka puasa, solat mahrib berjemaah seterusnya melaksanakan solat isyak, solat terawih dan moreh bersama-sama jemaah di beberapa buah masjid dan surau yang hadir.
Antara tempat-tempat yang beliau hadiri sepanjangan bulan ramadan ini Masjid Kg Kulambai Dundau, Masjid Kg. Payas Payas dan Masjid kg Pirasan.-pr/BNN