Ibu pejabat BERSATU tidak pernah iktiraf kumpulan mendakwa penggerak awal parti

0
Ketua Armada BERSATU Sabah, Encik Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak pernah mengiktiraf pihak tertentu yang mendakwa sebagai penggerak-penggerak awal parti itu di Sabah.

Ketua Armada BERSATU Sabah, Encik Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit berkata, Ibu Pejabat parti itu tidak pernah mengiktiraf penggerak terbabit kerana gerakan dan aktiviti mereka tidak pernah mendapat restu dan kelulusan parti.

Katanya. beliau berasa hairan kerana tiba-tiba sahaja muncul individu dan kumpulan tertentu yang mendakwa mereka adalah penggerak awal BERSATU di Sabah.

“Tambah menghairankan ialah kumpulan tersebut mendakwa mereka berpusat di Pulai, Johor Baharu, malah telah berjaya mendaftar seramai 18 ribu ahli di Kudat?

“Kepimpinan BERSATU Sabah tidak mengenali kumpulan dan individu terbabit. Mereka ini seperti *”toyol”* yang tiba-tiba sahaja muncul dan membuat tuduhan tidak berasas. Saya yakin mereka lakukan ini atas suruhan orang tertentu yang bertujuan mahu menjejaskan nama baik BERSATU di Sabah”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isquzawan mengulas laporan sebuah akhbar tempatan (The Borneo Post) dan portal berita (BorneoToday) mengenai sekumpulan individu diketuai oleh Thomas Mojuga Tukang yang mendakwa diri mereka adalah penggerak utama membawa BERSATU ke Sabah yang mengisytiharkan keluar parti bersama 20 ribu ahli lain.

Thomas yang mendakwa dirinya merupakan antara tulang belakang penubuhan Bersatu Sabah dilaporkan bersama 260 pemimpin lain termasuk ketua bahagian, pemimpin Armada dan Srikandi meninggalkan Bersatu.

Isquzawan berkata, dakwaan bahawa mereka diketepikan tidak timbul kerana kumpulan itu tidak pernah dilantik atau diberi kelulusan bergerak atas platform BERSATU oleh Ibu Pejabat parti.

Katanya, sungguh melucukan apabila Thomas mendakwa beliau bersama 260 pemimpin lain termasuk Ketua Bahagian, pemimpin Armada dan Srikandi meninggalkan BERSATU.

“Setahu saya TIADA Ketua Penaja Bahagian, Ketua Penaja Armada dan Srikandi di Sabah yang telah mendapat tauliah dari ibu pejabat BERSATU, bertindak keluar parti seperti yang didakwa oleh Thomas.

“Ini jelas satu pembohongan yang sengaja direkacipta oleh Thomas dan kumpulannya yang berniat jahat terhadap kepimpinan BERSATU Sabah”, tegasnya.

Katanya, BERSATU Sabah menerima laporan bahawa ramai individu yang mendakwa dan menyamar sebagai pemimpin BERSATU Sabah.

“Entah apa tujuan mereka. Bila pembohongan mereka terbongkar, maka mulalah mereka mengeluarkan pelbagai alasan untuk menebus rasa malu, sehingga ada yang konon ‘keluar’ BERSATU”, tambahnya.

Isquzawan berkata, tidak timbul dakwaan ada penggerak awal parti kerana BERSATU hanya memutuskan masuk ke Sabah sekitar bulan Februari 2019 dan dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi BERSATU, Y.A.B. Tun Dr.Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri Malaysia pada 6 April 2019.

Menurutnya, merekan yang dilantik oleh kepimpinan tertinggi BERSATU pusat sebagai ketua-ketua penaja dianggap penggerak awal parti itu di Sabah, termasuk Wakil Rakyat dan pemimpin bebas dari UMNO.

“Ini kerana mereka yang diberi kuasa dan tanggungjawab menubuhkan bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan BERSATU di Sabah”, tegasnya.

Isquzawan berkata, banyak pihak yang iri hati kerana perkembangan positif dan penerimaan baik rakyat Sabah ke atas BERSATU di negeri ini.

“Tambahan lagi BERSATU dipimpin oleh pemimpin yang berkeliber, berkomitmen dan berintegriti”, tambahnya.-pr/BNN