Baja padi bersubsidi dibekal oleh NAFAS tidak sampai kepada petani di Sabah

0
Padi-illustrasi

KOTA KINABALU: Ahli-ahli peladang dan petani di negeri ini masih belum menerima baja padi bersubsidi yang dibekalkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Belud, Encik Thomas Ajau berkata, baja padi bersubsidi itu merupakan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan dan dibekalkan oleh NAFAS.

“Sehingga sekarang kami selaku ahli PPK dan juga petani masih belum menerima sebarang baja padi bersubsidi itu.

“Bantuan baja padi bersubsidi ini amat diperlukan oleh ahli peladang dan petani untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi”, katanya.

Sementara ahli PPK Papar, Encik James Yulin berkata, petani di kawasan Papar amat memerlukan baja padi bersubsidi itu untuk musim penanaman padi.

“Selama ini tidak pernah berlaku bantuan baja padi bersubsidi dari NAFAS lewat sampai atau tidak sampai. Dan ini merupakan kali pertama ia berlaku”, katanya.

Bagi Encik Jeremi Joseph, seorang petani dari Kota Marudu pula, tanpa baja padi bersubsidi dari NAFAS itu akan menjejaskan hasil pengeluaran padi yang diusahakan.

“Baja padi yang dibekalkan oleh NAFAS sepatutnya sudah sampai dan diterima oleh ahli-ahli peladang dan petani. Malangnya ini tidak berlaku.

“Kerajaan perlu melihat kelewatan pembekalan baja padi bersubsidi ini secara serius kerana ia akan menjejaskan pengeluaran hasil padi para peladang dan petani”, katanya.

Sehubungan itu mereka merayu agar Kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah (MAFI) mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah itu.

“Kami meminta NAFAS agar segera bertindak demi masa depan para peladang dan petani padi di negeri ini”, tegas Jeremi.-pr/BNN