BONGAWAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menggesa Kerajaan untuk merangka strategi dan program khusus untuk menangani ketidakseimbangan dan jurang pembangunan di antara Sabah dan Semenanjung Malaysia dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK-12).
Ketua Penerangannya, Encik Khairul Firdaus Akbar berkata, RMK-12 merupakan rancangan pembangunan lima tahun bermula 2021 hingga 2025, justeru amat penting untuk menentukan hala tuju dan tahap pembangunan Sabah pasca tahun 2020 dan menjelang tahun 2030.
Katanya, mengambil kira kerajaan hari ini memberikan fokus kepada agenda kemakmuran bersama, maka kewujudan jurang pembangunan dan ekonomi yang besar antara wilayah harus ditangani pada kadar segera.
“Matlamat kemakmuran bersama tidak akan berjaya dicapai sekiranya isu-isu pokok seperti jurang prmbangunan ekonomi, kadar kemisikinan dan pengangguran masih membelenggu negeri besar seperti Sabah”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan dan Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan BERSATU Sabah Zon 3 dan 4 di Birdiy Hall, Borneo Golf, di sini hari ini.
Zon 3 melibatkan bahagian Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang. Manakala Zon 4 terdiri daripada bahagian Tenom, Keningau, Pensiangan dan Ranau.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Bendahari BERSATU Sabah serta Ketua Penaja BERSATU bahagian Kimanis dan Setiausaha Eksekutif BERSATU Sabah, Dato Armizan Mohd Ali.
Firdaus berkata, difahamkan kerajaan sedang dalam merangka pengisian RMK-12 dan dijangka akan diumumkan tahun hadapan.
Sehubungan itu katanya, BERSATU Sabah akan menggerakan inisiatif untuk mendengar dan mendapatkan aspirasi penduduk di Sabah berhubung perkara-perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam kandungan RMK-12.
Menurutnya, Jentera Penerangan BERSATU Sabah di seluruh bahagian akan menyelaraskan gerakan untuk mendekati rakyat dan memahami hasrat dan harapan mereka.
Beliau menegaskan, RMK-12 perlu dirangka melalui pendekatan ‘bottom-up’ untuk memastikan rancangan ini membawa nilai dan makna kepada rakyat di semua peringkat khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah B40.
Firdaus berkata, berdasarkan maklum balas akar umbi itu kelak, BERSATU Sabah akan menyediakan Memorandum RMK-12 yang mengandungi aspirasi rakyat dan syor serta cadangan untuk pertimbangan kerajaan.-pr/BNN