KOTA KINABALU: Kerjasama rapat dengan media yang dijalin menerusi konsep Kepolisan Komuniti dapat membantu usaha mewujudkan suasana keselamatan dan penyelesaian masyarakat di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kerjasama rapat dengan pengamal media menjadi satu asas penting bagi membantu menurunkan kadar jenayah.
“Dengan adanya kepolisan komuniti ini, ia dapat menurunkan kadar jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Sebelum ini polis lebih fokus kepada pencegahan jenayah, tetapi sekarang fokus turut diberikan kepada kepolisan komuniti kerana lebih baik mencegah daripada mengubah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas acara perlawanan persahabatan boling antara IPD Kota Kinabalu dan Pengamal Media di Pusat Boling CPS di sini kelmarin.
Hadir sama, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Muguntan Vanar.
Menurutnya, menerusi kepolisan komuniti ini, polis dan masyarakat dapat sama-sama membantu dalam pencegahan jenayah.
Katanya, ini dapat dibuktikan dengan hubungan pihak polis khasnya di IPD Kota Kinabalu yang akrab dengan masyarakat termasuk media dalam membantu penurunan jenayah.
Beliau berkata, ini dapat dilihat apabila IPD Kota Kinabalu setakat ini mencapai penurunan amat ketara dalam indeks jenayah iaitu 17.8 peratus penurunan jenayah.
Habibi berkata, pihaknya akan menjalankan pelbagai inisiatif berbentuk kepolisan komuniti selain mewujudkan program kampung angkat di beberapa lokasi yang disifatkan sebagai panas dan terdekat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah serta jenayah.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat lima kampung angkat di daerah ini dijadikan anak angkat IPD Kota Kinabalu.-pr/BNN