Perpustakaan Main Peranan Bangun Masyarakat-Matbali

0
Matbali (empat dari kiri) menyumbang hadiah basikal kepada PNS Cawangan Beaufort.

BEAUFORT:  Perpustakaan awam memainkan peranan yang sangat penting terhadap pembangunan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Encik Matbali Haji Musah.

Matbali (dua dari kiri) menandatangani buku pelawat.

Katanya peranan perpustakaan semakin mencabar dalam era maklumat digital dan media sosial.

“Kemajuan ICT dan penggunaan telefon pintar menyebabkan rakyat mudah dan cepat mendapat maklumat, berita dan pelbagai bahan bacaan.

“Namun itu bukan penghalang kepada perpustakaan awam untuk berkembang dan menjadi sumber maklumat dan ilmu kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar”, katanya.

Matbali berkata demikian semasa berkunjung dan melawat Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) cawangan Beaufort di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata, kewujudan PNS di daerah-daerah dan juga perpustakaan desa masih relevan pada masa kini.

Matbali (kanan) bergambar bersama bahan sumbangan beliau untuk kecerian ruang santai kanak-kanak.

Menurutnya, perpustakaan awam perlu dan mesti melaksanakan transformasi yang dapat memenuhi keperluan maklumat dalam masyarakat.

Katanya, salah satu cabaran besar yang dihadapi oleh perpustakaan awam ialah perkhidmatan maklumat yang terus berubah dengan kemunculan teknologi moden dan era digital.

“Justeru ledakan Teknologi Maklumat (IT) adalah suntikan awal untuk anak-anak dan golongan pemuda mencintai ilmu dan menanam budaya suka membaca.

“Dengan kemudahan dan aktiviti yang bersesuaian dilaksanakan di perpustakaan awam, disamping perkhidmatan perpustakaan yang lebih baik dan selesa, sudah pasti masyarakat terutama para pelajar dan anak-anak muda akan menggunakan perpustakaan untuk mendapatkan sumber maklumat dan ilmu yang terkini “, tegasnya.

Matbali juga menggesa ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menggunakan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan untuk meningkatkan ilmu dan pengetahuan mereka.

Sempena kunjungan itu, Matbali turut menyampaikan sumbangan sebuah basikal untuk hadiah peminjam buku terbanyak.

Selain menjadi ahli Perpustakaan, beliau juga menyumbang  bahan untuk keceriaan dalaman ruang santai kanak-kanak, disamping turut serta dalam gotong-royong keceriaan luar bangunan Perpustakaan.-pr/BNN