BERSATU Sabah Tempelak Ronnie Liu Keluar Kenyataan Tidak Wajar

0
Hajiji (tiga dari kiri) bersama tetamu lain semasa menghadiri sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Tuaran.
TUARAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menempelak Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu yang disifatkan mengeluarkan kenyataan tidak wajar terhadap Perdana Menteri.
Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, tindakan Ronnie itu turut dianggap tidak logik kerana mempertikaikan keupayaan Tun Dr Mahathir Mohammad yang sememangnya dikenali sebagai tokoh negarawan di serata dunia.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, pihaknya juga mempertikaikan kedudukan Setiausaha DAP Selangor yang membuat keputusan tersebut sehingga sanggup mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak perlukan Bersatu.
“Saranan atau cadangan Ronnie Liu itu tidak wajar, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Tun Mahthir) adalah seorang tokoh negarawan yang terbilang bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.
“Siapa itu Ronnie Liu ?, bukan Ronnie Liu  yang membuat keputusan yang sedemikian, itu tidak masuk akal dan tidak logik,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Daerah Tuaran di  Dewan Seri Sulaman, Tuaran, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pimpinan Bersatu Sabah akan terus menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi parti meskipun diserang dengan pelbagai tohmahan termasuklah saranan ‘tidak masuk akal’ daripada individu seperti Ronnie.
“Kita tentang dan ini tidak masuk dalam fikiran kita. Bersatu Sabah tetap menyokong Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tun sebagai pemimpin negara kita dan kalau boleh terus memimpin negara kita ini sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.
Baru-baru ini, Ronnie yang merupakan ADUN Sungai Pelek, Selangor menyifatkan Tun Mahathir sedang mengejar lanskap politik parti dominan Melayu seakan-akan  Barisan  Nasional (BN).
PH turut disifatkanya akan tetap berjaya tanpa Bersatu dengan beliau juga dalam masa sama mengkritik tindakan Tun Dr Mahathir bekas pemimpin Umno dalam Bersatu.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, Hajiji  turut berkesempatan menyampaikan anugerah Tokoh Khas Maal Hijrah Peringkat Daerah Tuaran bersempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini.-pr/BNN