Kesatuan dan Perpaduan Hasilkan Kestabilan, Keamanan, Kemajuan-Hajiji

0
Hajiji bergambar bersama penerima anugerah Maal Hijrah di majlis itu.

TUARAN:  Umat Islam harus insaf bahawa kestabilan yang wujud di negeri ini tidak datang dengan mudah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katatanya, kestabilan yang dinikmati hari ini adalah berkat usaha yang ikhlas dan pengorbanan yang tulus dari semua pihak.

Beliau berkata, kestabilan, keamanan dan kemajuan yang dikecapi rakyat adalah hasil daripada kesatuan dan perpaduan yang kita pupuk dan suburkan buat sekian lama.

Hajiji menyampaikan anugerah Tokoh Khas Maal Hijrah kepada Encik Romli Darus di majlis itu.

“Berkat semangat Hijrah dan kesatuan ummah dalam diri umat Islam dan rakyat pelbagai kaum di negeri ini, telah membolehkan pihak kerajaan membawa negeri ini ke mercu kemajuan dan kejayaan.

“Jadi semua rakyat hendaklah terus memupuk dan memelihara sikap harmoni, muafakat, bersefahaman, toleransi, bersatu padu serta saling menghormati dan juga menghargai antara satu sama yang lain kerana semua itu merupakan kunci kejayaan kecemerlangan, kemajuan, keamanan dan kemakmuran negara kita.

“Ia adalah nikmat dan rahmat kurniaan Allah S.W.T. kepada kita, justeru kita mesti bersyukur atas segala nikmat kejayaan, kemajuan dan kecemerlangan yang telah kita capai ini. Walaubagaimanapun, sebagai umat Islam dan rakyat yang maju dan bertamadun, kita tidak seharusnya cepat merasa puas hati dengan pencapaian dan kejayaan yang ada ini “, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata, umat Islam hendaklah terus mengorak langkah ke hadapan dengan melipatgandakan usaha menempuh masa depan yang lebih mencabar.

“Kita mesti komited dalam mewujudkan masyarakat yang dinamik dan berprinsip, berkeyakinan dan berdaya saing serta berpegang teguh kepada pegangan agama serta jati diri tradisi dan budaya bangsa yang berwibawa.

“Ini merupakan prinsip terbaik untuk membolehkan kita membawa rakyat dan negeri ini melangkah jauh ke depan supaya mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa dan kaum lain dalam segenap perkara”, tegasnya.

Hajiji  berkata,  dalam mendepani cabaran dan persaingan sengit dan getir dunia global, untuk terus mampu maju ke hadapan, umat Islam dan rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu memiliki keupayaan dan kekuatan dalam pelbagai bidang ilmu dan kemahiran agar terus mempunyai daya saing dan daya tahan yang tinggi.

“Maka kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana yang perlu bagi mendepani cabaran dunia global untuk satu jangka masa yang panjang.

“Justeru, umat Islam sebagai penduduk majoriti negeri ini hendaklah mengikis segala sikap yang negatif dan berazam untuk meningkatkan lagi kualiti amal ibadat, sahsiah, jati diri dan akhlak bagi menganjak kehidupan ke tahap yang lebih baik, bersesuaian dengan umat Islam itu adalah umat terbaik yang wujud di tengah-tengah masyarakat majmuk pelbagai kaum, bangsa, bahasa dan adat budaya”, tambahnya.

Hajiji  berkata,  ini termasuklah mengubah cara bekerja untuk mencapai matlamat hala tuju negeri dan mentransformasikan negeri kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

“Kita mesti berani melakukan perubahan penambahbaikan radikal dalam cara bekerja bagi menjana model ekonomi baru yang sedang kita telusuri.

“Maknanya, kita mesti bersedia untuk terus belajar, berkongsi pengalaman, kemahira dan juga kepakaran. Ini kerana daya saing kita adalah bergantung kepada keupayaan kita untuk terus bersaing dan menyumbangkan lebih daripada apa yang ditawarkan oleh bangsa dan negara lain”, tambahnya.

Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Daerah Tuaran, Mohd.Sofian Alfian Nair, Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Hamizi Abdul Halim.-pr/BNN