NABAWAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan kesal dengan tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menggunakan Pertubuhan Peladang (PP) bagi kepentingan politiknya.
Pengerusinya Encik Marutin Ansiung berkata, berdasarkan maklumat yang beliau terima, Menteri MOA telah melantik ahli-ahli Parti Amanah bagi mengisi jawatan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“AJP dari Amanah ini kemudiannya dilantik pula sebagai Pegawai Pembangunan Peladang di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan ditempatkan di negeri-negeri.
“Perlantikan itu adalah satu anugerah politik kepada ahli parti Amanah dan PP telah digunakan untuk kepentingan politiknya.
“Sedangkan Dato Salahuddin Ayub, Pengerusi LPP Datuk Mazlan Aliman, Pengerusi Nafas, Datuk Pharolrazi dan Pengurus Besar Nafas, Encik Ahmad Shaari tahu bahawa PP dan Nafas bukan syarikat pelaburan kerajaan (GLC).
“PP sama ada PPK, PP Negeri atau Nafas adalah milik tunggal ahli-ahli peladang menerusi saham yang mereka beli dan labur, sedangkan MOA dan LPP cukup sedar dan tahu mereka tidak memiliki apa-apa saham dalam PP.
“Ini jelas dan nyata bahawa Menteri MOA telah menggunakan PP untuk kepentingan politik parti Amanah dengan menganugerahkan jawatan lantikan politik kepada ahli parti itu”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Marutin berkata, ahli-ahli peladang kesal dengan tindakan Menteri MOA dan Pengurusan LPP yang telah pergunakan PP sebagai alat politik Amanah.
Beliau berkata, Menteri MOA dan Pengurusan tertinggi LPP perlu ingat bahawa PP adalah hak dan milik ahli-ahli peladang tetapi bukan dimiliki oleh Amanah atau mana-mana parti politik.
“Justeru Menteri MOA dan LPP perlu hentikan tindakan mereka yang mendapat bantahan daripada ahli-ahli peladang seluruh negara”, tegasnya.-pr/BNN