Pelajar dididik sebagai pewaris Negara, modal insan berilmu, berakhlak

0
Hajiji memukul gong merasmikan majlis itu.

TAMPARULI: Pelajar hari ini bukan setakat ke sekolah untuk belajar, malah dididik sebagai pewaris negara dan modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah di majlis itu.

Katanya, hal itu selari dengan saranan pihak kerajaan untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan..

Beliau berkata, dunia pendidikan kini semakin mencabar dan para pendidik harus berupaya menyampaikan pembelajaran dan pemudahcaraan yang efisien menerusi penggunaan teknologi.

Menurutnya, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) merupakan tunjang inovasi bagi melahirkan dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara.

“Pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha dan bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, 2019 di Dewan Jubli Perak sekolah itu, hari ini.

Hajiji berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak sekolah untuk menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan menerima ilmu semata-mata demi menyediakan mereka untuk menempuh arus kehidupan pada abad ke-21 yang amat mencabar.

“Lazimnya, kita beranggapan bahawa penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku tanpa memerlukan sebarang rencana. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui kaedah tertentu perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak.

“Seharusnya, ibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran anak-anak secara berterusan, bukan sahaja di sekolah bahkan di rumah”, tegasnya.

Hajiji berkata, sebagai ibu bapa , kita juga perlu melakukan muhasabah sendiri. Benarkah kita telah menjalankan kewajipan dalam mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya atau hanya sekadar menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah semata-mata?

Menurutnya, ibu bapa perlu memastikan usaha yang digarapkan oleh guru-guru di sekolah dalam mendidik anak-anak kita perlu diteruskan juga sewaktu mereka berada di rumah.

Beliau berkata, pendidikan agama anak-anak muda adalah penting bagi meningkatkan iman, berani dan mempertahankan prinsip-prinsip kebenaran dan amanah. Selain daripada menekankan amalan solat, pendidikan adab dan budi pekerti mulia juga wajib di tekankan. Seperti menghormati dua ibu bapa, tidak membazir, tidak rasuah, bekerja kuat, amanah dan ikhlas dalam apa juga yang kita lakukan.

“Sebagai anak-anak yang cemerlang, kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT atas apa jua pencapaian kita. Anda tidak akan berada di pentas tanpa bantuan daripadaNya. Sentiasalah berdoa dan berusaha untuk terus cemerlang duniawi dan uhkrawi.

“Berterima-kasihlah kepada ibu bapa kerana memberi anda pendidikan sempurna bersulam kasih sayang, wang ringgit, perlindungan rohani dan jasmani. Keringat mereka hanya perlu di bayar dengan “sebuah kejayaan”. Kejayaan tidak bermakna jika anak-anak berjaya dari segi akademik tetapi tidak berjaya dalam urusan membina sahsiah dan budi pekerti yang mulia. Mengimbangi antara duniawi dan uhkrawi perlu anda pelajari dan praktikkan”, tegasnya.

Hajiji berkata, seorang pendidik mesti sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan agar perkhidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain.

“Kita semua sedia maklum bahawa para pelajar merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara kerana ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, cara asuhan, gaya didikan dan bimbingan dalam semua aspek kehidupan perlu diambil cakna sejak peringkat awal lagi.

“Pencapaian yang cemerlang dari segi akademik sahaja tidak memadai, malahan perkembangan dan kecemerlangan dalam aspek rohani dan sahsiah juga perlu bergerak seiring demi mencapai keseimbangan dalam kejayaan yang dilakarkan”, jelasnya.

Sempena majlis itu, Hajiji turut merasmikan Laluan Pejalan Kaki Berbumbung sekolah itu.-pr/BNN