JKR, kontraktor lebuhraya Pan Borneo digesa segera selenggara jalan Beaufort-Sindumin

0
Matbali hj Musah

BEAUFORT: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor Lebuhraya Pan Borneo diminta segera membaiki dan menyelenggara Jalan Beaufort-Sindumin yang kini berlubang dan berlumpur sehingga menyebabkan kemalangan yang telah meragut nyawa seorang pengguna jalan raya, semalam.

Rugutan pengguna jalanraya di media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Encik Matbali Haji Musah berkata, JKR dan kontraktor yang membina Lebuhraya Pan Borneo di pakej berkenaan perlu menyelenggara jalan tersebut yang kini dalam keadaan yang amat teruk.

Katanya, jalan itu bukan sahaja berlubang di sana sini, malah tanah lumpur melimpah ke jalan apabila hujan akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang kini sedang rancak dijalankan.

“Keadaan Jalan Beaufort-Sindumin memang amat menyedihkan kerana tidak diselenggara selepas kontraktor Lebuhraya Pan Borneo mulai melakukan kerja pembinaan.

“Banyak pengguna jalan raya yang melalui jalan itu mengalami kemalangan dan pecah tayar, rim akibat jalan berlubang, tidak rata dan berlumpur. Dan terkini kemalangan yang telah meragut nyawa seorang pengguna.

“Saya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga pengguna jalan raya yang meninggal dunia akibat kemalangan semasa melalui jalan tersebut”, katanya dalam kenyataan ketika mengulas kemalangan itu.

Kemalangan maut itu melibatkan kenderaan jenis Myvi berlaku kira-kira jam 10.30 malam, kelmarin di KM25, Kg. Lingkungan Jalan Beaufort-Sipitang.

Matbali berkata, beliau telah banyak kali menyuarakan isu jalan Beaufort-Sindumin yang berlubang dan rosak kepada pihak berkuasa, termasuk di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Kini kerosakan teruk jalan itu telah meragut nyawa pengguna, justeru pihak JKR dan kontraktor Lebuhraya Pan Borneo tidak ada alasan untuk melengah-lengahkan penyelenggaraan jalan tersebut.

“Kita tidak mahu kemalangan sehingga meragut nyawa pengguna berulang akibat kerosakan jalan itu yang tidak dibaiki oleh pihak berwajib”, tegasnya.