KOTA KINABALU:Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sekali lagi membawakan dua konsert berprestij dan berskala besar untuk rakyat negeri di bawah bayu. Konsert Fenomena Orkestra @ RTM dan Konsert Aramaiti@RTM, masing-masing akan diadakan pada 16 dan 17 November 2019 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Konsert Fenomena Orkestra yang diiringi 41 pemuzik Orkestra RTM dan Pemuzik Tradisional Sabah
pimpinan Pengarah Muzik Konsert Fenomena, Leonard Yeap Lin Soon akan diadakan bermula pukul 8.30
malam, 16 November 2019 (Sabtu). Konsert ini turut disiarkan secara langsung di TV2 pada malam
berkenaan.
Berkonsepkan Intuisi Muzik, Konsert Fenomena Orkestra akan menampilkan lima segmen melibatkan
artis-artis popular seperti Anuar Zain, Ziana Zain, Bunkface, Ruffedge, Atmosfera, Rosario, Heidi,
Benzoloo, Reshmonu, Sandra dan DJ Zaskar.
Konsert ini dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr. Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norlidah Tan Sri R.M. Jasni, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Haji Mohd. Apdal dan isteri, Datin Seri Panglima Hajah Shuryani Datuk Haji Shuaib.
Turut hadir, barisan kabinet negeri Sabah.
Sementara itu, Konsert Aramaiti@RTM yang menggabungkan pemuzik dari Kombo RTM Sabah, Razali Kulintangan, Payuki Seruling Ranau dan Pemuzik Bambu yang akan diadakan pada 17 November 2019 (Ahad) bermula pukul 8.00 malam.
Konsert ini juga akan dirakam untuk siaran TV Okey.
Berbeza dengan konsep Konsert Fenomena Orkestra RTM, Konsert Aramaiti@RTM menggambarkan
majlis keramaian atau pesta meriah menerusi lima segmen dengan penampilan artis-artis iaitu K-Clique,
Francis Landong, Azharina Azhar, Velvet Aduk, Elica Paujin, Esther Applunius, Santiana Ramli, Den Bisa,
Rich Estranged, Yabang Khalifah, Reynaldo Paggie, Eiffel Paul dan Janrywine J. Lusin, diiringi 35 pemuzik
RTM Sabah dan Pemuzik Jemputan, pimpinan Ketua Pemuzik RTM Sabah, Raymond Sukudat.
Konsert ini dijangka dihadiri Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd. Nor dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Tuan Haji Abdul Muis Shefii.
Kedua-dua Konsert ini juga akan disiarkan secara langsung melalui siaran radio di Sabahfm. Orang ramai
khususnya sekitar Kota Kinabalu dipelawa hadir untuk memeriahkan konsert berkenaan yang diadakan
secara percuma.-pr/BNN