1. Sebentar tadi Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah selaku Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2020.
2. Belanjawan ini mempunyai keunikan tersendiri kerana mencakupi beberapa perkara mustahak yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.
3. Pemberian Khas Kerajaan Persekutuan, sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) telah disemak semula selepas 50 tahun di mana pemberian khas dinaikkan daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta. Saya bersetuju dengan Ketua Menteri bahawa kita masih jauh daripada berpuashati dengan jumlah tersebut, tetapi ia merupakan satu indikasi bahawa perundingan tuntutan pelaksanaan MA1963 di bawah Kerajaan hari ini sedang membuahkan hasil.
4. Sebanyak 90 buah kampung telah dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan meliputi daerah Kudat, Pitas, Kota Belud, Tamparuli, Tuaran, Kota Kinabalu, Tenom, Beluran, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.
5. Sebanyak 958 jawatan baharu pelbagai gred Perkhidmatan Awam Negeri telah diwujudkan dari tahun 2018 sehingga setakat 30 September 2019. Kerajaan Sabah juga telah memutuskan untuk tidak lagi melantik semula pegawai-pegawai kanan yanh sudah bersara wajib bagi membolehkan regeneration of Sabah civil service dengan konsisten. Berkaitan dengan ini juga, Kerajaan Sabah menyediakan penganugerahan biasiswa pegawai kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada 33 orang pegawai kanan setakat September 2019, manakala sebanyak 143 orang pegawai pengurusan tertinggi telah dihantar ke program-program latihan khas di dalam dan luar negara.
6. Kerajaan Sabah mengekalkan peruntukan RM52 juta biasiswa yang akan memberi faedah kepada sekitar 1200 orang pelajar. Jumlah yang sama telah diperuntukkan tahun ini, tetapi merupakan kenaikan signifikan 67.5% daripada jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan terdahulu, iaitu hanya RM40.6 juta bagi tahun 2018. Ini menunjukkan keprihatinan besar Kerajaan Sabah hari ini kepada pembangunan modal insan.
7. Peruntukan bagi Bantuan Kepada Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam, Sekolah-Sekolah Persendirian Bukan Islam dan Sekolah-Sekolah Mubaligh juga dinaikkan, iaitu daripada RM35 juta pada tahun ini kepada RM43 juta bagi tahun hadapan.
8. Selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, saya menghargai pengiktirafan YAB Ketua Menteri ke atas program pembangunan keusahawanan desa yang dilaksanakan oleh KPLB Sabah di mana beliau menyatakan kejayaan usahawan-usahawan di bawah program bimbingan kita yang meraih kejayaan dan anugerah antarabangsa, seterusnya bagi kementerian ini untuk meneruskan program ini pada tahun hadapan.
9. Saya juga menghargai pengiktirafan Ketua Menteri kepada usaha-usaha mendekati rakyat yang dilaksanakan oleh Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan di kawasan masing-masing dengan menambah peruntukan Program Sentuhan Kasih sebanyak RM100 ribu pada tahun hadapan.
10. Pembasmian kemiskinan masih merupakan cabaran besar yang perlu ditangani oleh KPLB Sabah. Justeru, saya menghargai keprihatinan Ketua Menteri memberikan peruntukan awal tahun sebanyak RM19 juta untuk melaksanakan antara lainnya program ameniti dan ekonomi desa, pembinaan Rumah Sejahtera Sabah dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung Sejahtera. Saya tahu peruntukan ini tidak mungkin akan memadai, dan akan terus berusaha mendapatkan peruntukan tambahan semasa perbekalan tambahan tahun hadapan.
11. Secara ringkasnya, bagi KPLB Sabah, peruntukan pembangunan awal yang disediakan bagi tahun hadapan adalah seperti berikut:-
(i) Projek Pembangunan Kecil – RM10 juta.
(ii) Program Ameniti dan Ekonomi Desa – RM 3 juta.
(iii) Program Satu Daerah Satu Produk – RM 1 juta.
(iv) Program Pembangunan Usahawan Desa – RM 1 juta.
(v) Peruntukan Khas (Peruntukan Khas ADUN, Menteri dan Pembantu Menteri) – RM78.220 juta
(vi) Program Pembasmian Kemiskinan – RM16 juta
12. Oleh kerana kod-kod baru projek baru yang dicadangkan oleh semua kementerian hanya dapat dibuat semula dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sepertimana dinyatakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Kementerian Kewangan, maka pelaksanaan bagi program-proram baru KPLB Sabah pada tahun hadapan seperti Jalan Pelancongan Komuniti Luar Bandar, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif akan dilaksanakan melalui peruntukan di bawah kod-kod projek sedia ada tersebut di atas.
13. Saya ucap tahniah kepada YAB Ketua Menteri di atas pembentangan belanjawan Kerajaan Negeri Sabah yang kedua bagi Kerajaan hari ini. Semoga pembangunan Sabah terus dilaksana sesuai dengan aspirasi rakyat melalui kesatuan dan kerjasama antara pimpinan, perkhidmatan awam, rakan strategik dan rakyat.
EWON BENEDICK
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah
ADUN Kadamaian
Naib Presiden UPKO
15 November 2019