SUNGAI PETANI, KEDAH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah tetap menolak Pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (PP) (Pindaan) 2019.
Ianya diputuskan oleh PPN Kedah dalam Mesyuarat Agong Tahunan (MAT) yang diadakan di Hotel Jerai, di sini.
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang dipilih dalam mesyuarat tersebut (bekas Pengerusi PPN Kedah) , Dato Abd Lateh Haji Mohd Saman berkata, MAT PPN telah berjalan dengan lancar, walaupun ahli peladang dan perwakilan yang hadir terus menolak pewartaan itu.
“PPN Kedah menolak pewartaan pindaan yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Sebarang pindaan yang hendak dibuat, perlu terlebih dahulu berbincang dengan ahli-ahli peladang selaku pemegang saham tunggal PP.
“Sekarang sukar mengharapkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan PPN sendiri, kerana ianya bukan dikuasai oleh ahli-ahli peladang.
“Sebaliknya ia dikuasai oleh Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang dilantik oleh Menteri yang tidak mengetahui selok belok mengenai pertanian dan PP.
“Disebabkan mereka adalah pemimpin Parti Amanah dan rapat dengan Menteri MOA, maka mereka telah dilantik sebagai AJP PP”, katanya dalam kenyataan, hari ini
Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 telah diwartakan pada 22 April 2019 dan berkuat kuasa 1 Mei lalu.-pr/BNN