Tidak wajar salahkan PM sepenuhnya- Jerry

0
Brig.Jen (K) Dato Jerry Ambuting Haji Mohd.Said

KOTA KINABALU: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak wajar meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kekalahan calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor.

Brig.Jen (K) Dato Jerry Ambuting Haji Mohd.Said berkata, pemimpin PH sepatutnya bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang wujud sepanjang kempen PRK itu.

“Sebaliknya pemimpin parti komponen PH ternasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak wajar terus menyalahkan Tun Dr. Mahathir sepenuhnya, sehingga tergamak mendesak beliau berundur dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri.

“Desakan demikian tidak patut berlaku dalam keadaan negara masih memerlukan kepemimpinan Tun Dr. Mahathir untuk terus mengemudi negara”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa pemimpin PH yang seolah-olah menyalahkan Dr Mahathir, susulan kekalahan di Tanjung Piai.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali dengan lantang mendakwa, ia adalah referendum terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir. Beberapa Ahli Parlimen PH turut dilaporkan mendesak perubahan dalam kepemimpinan pakatan itu.

Jerry Ambuting yang juga Ketua Perhubungan Awam kepada Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abd.Rahman berkata, semua parti komponen PH perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dan kesan daripada kekalahan di Tanjung Piai.

“Adalah tidak adil dan tidak matang dengan hanya menyalahkan PM sepenuhnya. Kekalahan di Tanjung Piai tidak wajar dijadikan alasan untuk menuding jari dan mencari salah antara satu sama lain.

“Amat tidak wajar apabila terdapat pemimpin dalam PH menggunakan kesempatan ini untuk mendesak PM berundur, sedangkan Tun Dr Mahathir sudah banyak kali menyatakan akan menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya pada masa yang sesuai.

“Pemimpin PH khususnya PKR sepatutnya bersabar dan bukan terus membuat desakan yang tidak wajar sehingga memberi gambaran negatif kepada rakyat dan menganggap bakal pengganti Tun Dr. Mahathir begitu terdesak dan “desperate” dengan jawatan itu”, tegasnya.

Jerry Ambuting berkata, kepimpinan PH sepatutnya memberi tumpuan kepada gerak kerja berkhidmat kepada rakyat bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan PH.

Beliau mengulangi bahawa, ” tidak ada faedahnya pemimpin PH terus menuduh dan menyalahkan Dr. Mahathir atau mana-mana pihak berikutan kekalahan mengejutkan di PRK Tanjung Piai”.

Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan faktor ketidaktentuan dalam penetapan tarikh peralihan kuasa jawatan PM menjadi punca kekalahan PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai.-pr/BNN