KEDAH: Ahli-ahli peladang di negeri Kedah terkejut dan terkilan dengan dakwaan bahawa Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah menempah dan membayar sejumlah bilik untuk kegunaan ahli-ahli politik semasa PRK Parlimen Tanjung Piai.
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Dato Abd Lateh Haji Mohd Saman berkata, berita itu amat mengejutkan ahli-ahli peladang kerana NAFAS semakin tidak bernafas.
“Sekiranya dakwaan itu terbukti benar, maka sungguh malang nasib ahli-ahli peladang kerana duit NAFAS telah salahgunakan untuk tujuan politik.
“Nampaknya NAFAS telah dijadikan sebagai alat politik (political tools) oleh pemimpin Parti Amanah (Amanah) yang menerajui Pertubuhan Peladang (PP) menerusi lantikan politik oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA)”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan bekas Menteri pertanian bahawa NAFAS terlibat membiayai kempen sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) semasa PRK Tanjung Piai.
Noh ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di Dewan Rakyat, hari ini berkata;
“NAFAS didapati membuat tempahan bilik di Pontian sepanjang tempoh berkempen PRK Parlimen Tanjung Piai dengan semua penghuni didapati memakai baju jingga,”.
“Kita sedia maklum AJP itu sendiri terdiri daripada pemimpin parti politik, Amanah?”, tegas Noh
Abd Lateh yang juga bekas Pengerusi PPN Kedah berkata, kredibeliti NAFAS semakin terjejas dan dipersoalkan sejak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melantik AJP NAFAS daripada kalangan ahli Amanah.
Menteri MOA, Datuk Salahuddin Ayub merupakan Timbalan Presiden Amanah dan Pengerusi NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi adalah Timbalan Pengerusi Amanah Kedah.
Sementara itu daripada enam AJP NAFAS lantikan menteri, Lima daripadanya adalah daripada AMANAH dan seorang daripada PKR manakala lima orang lagi adalah ajp di pilih dalam mesyuarat agong Nafas.
“Sejak dari awal lagi ahli-ahli peladang telah membantah pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (PP) (Pindaan) 2019 kerana ia menjurus dan bermotifkan politik.
“Dengan pendedahan Noh di Persidangan Parlimen, maka jelas dan terbukti kebimbangan ahli-ahli peladang sudah berlaku.
“NAFAS, PPN dan PPK adalah milik mutlak ahli-ahli peladang melalui saham mereka. MOA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) tidak memiliki apa-apa saham dalam PP.
“Justeru amat menyedihkan dan tidak wajar orang-orang politik lantikan Menteri MOA dalam PP mengambil kesempatan dan melibatkan NAFAS bagi membiayai kos bilik hotel sepanjang kempen PRU Tanjung Piai”, tegasnya.
Katanya, Menteri MOA., Lpp tidak boleh lagi jadi tikus dan Pengerusi NAFAS perlu tampil memberi penjelasan kepada ahli-ahli peladang berhubung tuduhan itu bagi membersihkan nama baik NAFAS.-pr/BNN