NABAWAN: Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Malaysia akan berusaha mengatasi masalah yang dihadapi oleh atlet negara yang mengambil bahagian dalam Sukan SEA ke-30 di Filipina.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan pihak penganjur untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Saddiq (kiri) pada Dialog Belanjawan 2020 tersebut.
“Kami memang dapat laporan setiap hari khususnya permasalahan dari segi pemakanan, pengangkutan dan penginapan khususnya di Manila.
“Clark dan Subic masih terkawal sedikit ada masalah tapi masih boleh dikawal, tetapi di Manila ada masalah yang tersendiri kita memang berhubung agak rapat dengan pihak penganjur untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya ketika ditemui media selepas Program Dialog Belanjawan 2020 bersama Menteri Belia Dan Sukan, di Dewan Masyarakat Nabawan, di sini pada Sabtu.
Jelasnya, KBS juga sudahpun menghantar 1,000 kotak makanan Brahim’s iaitu makanan halal yang mudah dimakan ke Filipina untuk kegunaan para atlet negara dan sebagai persediaan jika masalah itu berterusan.
Selain itu katanya, berkenaan dengan penginapan atau masalah hotel juga pihak kementerian juga telah mencari Inap Desa yang boleh digunakan atau didiami untuk para atlet negara.
Walau bagaimanapun, Syed Saddiq berharap agar atlet negara dapat terus fokus dalam acara yang mereka sertai dan dapat memberi tumpuan kepada sasaran yang ditetapkan iaitu mencapai 70 pingat emas.
Ini kerana katanya, atlet dari negara lain juga mengalami masalah yang sama dan pada masa sama pihaknya akan berusaha untuk membantu menyelesaikan masalah yang timbul secepatnya.
Hadir sama pada program itu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Datuk Bobby Ah Fang Suan.-pr/BNN