KOTA KINABALU: Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah menyokong agar tiga jawatan utama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti melibatkan Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan.
Ketuanya Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Pengerusi BERSATU yang kini disandang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu dikekalkan.
Katanya selain sebagai pengasas parti, kepimpinan ketiga-tiga tokoh itu amat diperlukan oleh parti khususnya Tun Dr.Mahathir yang juga Perdana Menteri merupakan negarawan ulung untuk terus memimpin negara.
“BERSATU Sabah bersetuju dan menyokong cadangan supaya jawatan Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden parti dikekalkan dan tidak dipertandingkan dalam pemilihan MPT Bersatu nanti”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mengulas syor BERSATU Terengganu yang mencadangkan penyandang ketiga-tiga jawatan itu dikekalkan.
Pengerusi BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris pada Ahad berkata, Bersatu Terengganu sebulat suara bersetuju supaya jawatan berkenaan dikekalkan dan tidak dipertandingkan.
“Jadi, kita mengesyorkan kepada negeri-negeri lain untuk turut sama sebulat suara dalam hal ini dengan mengekalkan jawatan ketiga-tiga mereka dalam pemilihan MPT Bersatu nanti,” katanya.
Hajiji yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tuaran berkata, BERSATU Sabah dengan tegas menyokong penuh agar Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir terus kekal menerajui dan memimpin parti dan negara.
“Kita berharap ahli-ahli BERSATU di Sabah amnya dan seluruh negara khasnya terus berdiri teguh dan menyokong kepimpinan mereka demi memantap dan mengukuhkan lagi perjuangan dan kedudukan parti”, tegasnya.
Mesyuarat BERSATU peringkat cawangan akan dimulakan pada 15 Februari 2020 sehingga 29 Mac 2020 dan mesyuarat peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April 2020, manakala Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pula pada 25 hingga 28 Jun depan.- or/BNN