KOTA KINABALU: Kegiatan amal “Charity Party for PSKS” telah diadakan dengan jayanya di Kompleks Sukan Likas di sini pada Ahad.
Lebih 300 orang peminat aerobics atau zumba telah mengambil acara selama 2 jam anjuran Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) dengan kerjasama Fuze Fitness.
Tarian fitness itu diketuai oleh Ratu Fitness Sabah yang tidak asing lagi, Puan Michelle Koh. Beliau menjadi terkenal apabila memenangi Pingat Emas di SEA Games dalam acara Karate hampir 30 tahun dulu.
Setiap peserta dikenakan bayaran RM40 atau RM350 bagi satu kumpulan 10 orang. Hasil kutipan adalah untuk tabung PSKS untuk membeli tempat penginapan untuk pesakit-pesakit kanser yang datang dari seluruh Sabah ke Kota Kinabalu untuk menerima rawatan.
Michelle memberitahu beliau bersetuju untuk membantu kerana ini adalah kerja amal yang sangat bererti iaitu menolong pesakit kanser.
Acara itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Sukan Sabah (LSS), Dr KH Tan yang mengatakan beliau bersetuju untuk menaja tempat Charity Party itu sejajar dengan dasar CSR LSS lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kerja amal.
Beliau juga memuji usaha murni PSKS, sambil menambah bahawa kanser adalah satu perkara yang dekat dengan hati beliau kerana beliau telah kehilangan beberapa sahabat kerana penyakit itu.
Sementara itu, Presiden PSKS Encik Lawrence Imui dalam ucapan beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kedua-kedua Michelle dan Dr Tan.
“Tanpa bantuan mereka, mungkin acara ini tidak akan jadi kenyataan,” tegas beliau.
Acara itu turut dihadiri oleh seorang pemimpin NGO, Datuk Aminah Ambrose. Dalam ucapannya, beliau menceritakan bagaimana beliau berjaya melalui saat hitam dalam hidup beliau setelah didapati mempunyai kanser.
Beliau menasihatkan para pesakit kanser terutama kaum wanita supaya bersabar dan berfikiran positif jika dilanda penyakit kanser.
Acara itu turut menyaksikan persembahan Karate dari studio kepunyaan Michelle.-pr/BNN