KOTA KINABALU: Pendedahan yang dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Lokman Nor Adam yang turut menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan adalah bukti jelas bahawa Muafakat Nasional (MN) bercelaru.
Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH) Encik Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, sejak dari awal lagi MN menghadapi masalah kecelaruan identiti dan saling tidak percaya antara satu sama lain.
Beliau berkata, ini adalah petunjuk penting bahawa parti yang berada dalam MN terutamanya UMNO dan PAS tidak mempunyai persefahaman yang baik dan hanya memikirkan survival politik masing-masing.
“Selain itu, dalam rakaman yang didedahkan juga menunjukkan PAS telah memberi isyarat bahawa kesepakatan yang dibuat bersama UMNO hanyalah sandiwara politik demi meraih sokongan setelah masing-masing tewas dalam PRU ke 14 yang lalu.
“Ini juga menunjukkan PAS sekali lagi mempamerkan wajah sebenar mereka apabila sanggup membelakangkan rakan politik dan pada kali ini UMNO menjadi mangsa seterusnya”, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Justeru kata Hasnul, rakyat Malaysia seharusnya membuka mata menilai sikap politik mereka dan tidak terpedaya dengan slogan yang dilaungkan kononnya membawa agenda nasional untuk Malaysia.
Dalam pada itu, Pemuda AMANAH menyeru agar Pakatan Harapan (PH) terus bergerak pada landasan yang betul bagi memastikan perubahan dan pembaharuan yang dibawa dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.-pr/BNN