SARAWAK: Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baram, Encik Ngau Jok menyokong kenyataan Dato Abd Lateh Mohd Saman berhubung pendedahan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mengenai dakwaan berlakunya salah laku di bawah pentadbiran AJP terdahulu.
Katanya, kenyataan Abd Lateh selaku bekas AJP Nafas amat dialu-alukan oleh ahli-ahli peladang.
Beliau berkata, Abd Lateh bersama seluruh bekas AJP Nafas terdahulu bersikap “gentlemen” kerana mengalu-alukan pendedahan Phahrolrazi.
“Cuma saya agak hairan kenapa Phahrolrazi sengaja memilih menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Nafas untuk mendedahkan perkara itu?
“Apa motif dan tujuan beliau berbuat demikian? Adakah beliau sengaja mahu mempengaruhi para perwakilan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) ke MAT Nafas agar tidak menyokong bekas AJP Nafas yang turut menawarkan diri bertanding AJP dalam pemilihan kali ini.
“Sekiranya itu adalah matlamatnya, maka jelas Pengerusi Nafas mempunyai motif jahat kerana sengaja mendedahkan konon berlakunya salah laku di bawah pentadbiran AJP terdahulu”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abd Lateh pada Sabtu mewakili bekas AJP Nafas terdahulu mengalu-alukan pendedahan Phahrolrazi mengenai dakwaan berlakunya salah laku di bawah pentadbiran AJP terdahulu.
Katanya, dakwaan itu bukan perkara baru kerana ianya telah didedahkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Nafas tahun 2018 oleh Hamzah Bahari selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) ketika itu.
Beliau berkata, dakwaan salah laku itu juga telah dilaporkan kepada pihak berkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut
“Sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak SPRM dan PDRM berhubung dakwaan salah laku oleh bekas AJP Nafas dan Pengurus Besar selaku ketua pentadbir dan pegawai pegawai kanan Nafas ketika itu.
“Justeru, saya berasa hairan dan pelik kerana Phahrolrazi tiba-tiba sahaja mendedahkan dakwaan itu terutama menjelang pemilihan AJP Nafas sempena MAT Nafas yang akan diadakan pada 25 Februari 2020 ini.
“Umum mengetahui ramai bekas AJP Nafas terdahulu juga menawarkan diri bertanding dalam pemilihan AJP Nafas kali ini”, katanya.
Abd Lateh mengulas kenyataan Phahrolrazi pada Jumaat yang mendakwa audit forensik yang dijalankan terhadap Nafas, menemui tujuh perkara yang meragukan dan menyalahi tatacara kewangan serta tadbir urus institusi itu, sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM50 juta.
Phahrolrazi mendedahkan, penemuan itu berdasarkan hasil audit forensik, terhadap akaun-akaun institusi itu yang dilaksanakan oleh sebuah firma audit antarabangsa pada Mei hingga September tahun lepas, melibatkan salah laku di bawah pentadbiran AJP terdahulu.
Abd Lateh juga mempersoalkan kenapa Phahrolrazi tidak mendedahkan nama firma audit antarabangsa yang beliau nyatakan telah melakukan audit forensik terhadap akaun-akaun institusi itu?
Katanya, setiap akaun dan laporan tahunan kewangan Nafas akan diaudit oleh juruaudit bertauliah dan juga juruaudit dalaman yang dipilih dikalangan perwakilan MAT Nafas sebelum ianya dibentangkan dalam MAT.
Menurutnya, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku pendaftar PP atau wakilnya juga terlibat sama dalam setiap mesyuarat AJP Nafas yang pastikan akan memberi teguran atau bantahan sekiranya berlaku kepincangan atau salah laku dalam tadbir urus Nafas terdahulu.
“Justeru menerusi pendadahan oleh Phahrolrazi semalam, kami berharap pihak LPP selaku pendaftar akan segera mengambil tindakan pemeriksaan dan siasatan lanjut terhadap semua dokumen berkaitan mengenai dakwaan Pengerusi Nafas itu.
“Pihak berkuasa juga perlu segera mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat sekiranya benar dakwaan berlakunya salah laku dalam tadbir urus Nafas di bawah pentadbiran Ahli-Ahli Jemaah Pengarah (AJP) terdahulu”, tegasnya.-pr/BNN