KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi didesak agar menamakan firma audit antarabangsa yang telah menjalankan audit forensik terhadap akaun-akaun institusi itu.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Datuk Haji Jaimin Samitah berkata ahli-ahli peladang berhak mengetahui firma audit antarabangsa yang diupah menjalankan kerja pengauditan forensik itu.

Beliau berkata, Phahrolrazi dalam sidang medianya ketika mendedahkan dakwaan mengenai berlakunya salah laku di bawah pentadbiran AJP terdahulu pada Jumaat lalu, telah menyebut mengenai hasil audit forensik yang dilaksanakan oleh sebuah firma audit antarabangsa.

“Beliau menyatakan firma audit antarabangsa itu telah menjalankan penauditan terhadap akaun-akaun Nafas pada Mei hingga September tahun lepas dan menemukan salah laku di bawah pentadbiran AJP terdahulu sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM50 juta.
“Dengan pendedahan yang begitu penting itu, kenapa Phahrolrazi tidak menamakan firma audit antarabangsa itu?”
“Ini sesuatu yang menghairankan. Justeru saya mewakili ahli-ahli peladang mendesak Phahrolrazi agar memberi tahu nama firma audit antarabangsa yang telah diupah oleh AJP Nafas sekarang yang telah menjalankan penauditan forensik itu”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaimin berkata, memandangkan penauditan dijalankan selama 5 bulan iaitu dari bulan Mei hingga September 2019, sudah pasti ianya juga melibatkan akaun-akaun Nafas sepanjang tempoh di bawah pentadbiran AJP baru.

“Ahli-ahli peladang seluruh negara juga ingin tahu apakah hasil audit forensik yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa terhadap akaun Nafas sepanjang tempoh pentadbiran AJP sekarang”, tegasnya.

Katanya, adalah sesuatu yang ganjil sekiranya perkhidmatan firma audit antarabangsa digunakan hanya untuk menaudit akaun-akaun lama Nafas bagi mencari salah laku pentadbiran AJP lama.-pr/BNN