KUALA LUMPUR: Hasil audit forensik yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa terhadap akaun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) tidak menggambarkan isu besar atau penyelewengan dalam institusi itu.
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mukah, Sarawak. Encik Manuchihr Smith berkata, ini kerana sebarang kelemahan dalam tadbir urus Nafas oleh AJP terdahulu adalah dikawal dan diselia oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) atau wakilnya selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP).
Beliau berkata, semua akaun Nafas yang telah diaudit hendaklah mendapat kelulusan daripada Pendaftar PP sebelum ianya dibentang dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Nafas.
“Sekiranya benar berlaku urus tadbir yang meragukan atau tidak mematuhi tatacara kewangan, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab Pendaftar PP membuat teguran dan meminta pengurusan dan AJP terdahulu perbetulkan.
“Justeru adalah tidak berbangkit soal menyalahi tatacara kewangan dan tadbir urus Nafas kerana ianya dikawal dan diselia oleh Ketua Pengarah LPP”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Manuchihr yang juga perwakilan ke MAT Nafas ke 46 berkata, pendedahan oleh Pengerusi Nafas Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mengenai penemuan hasil audit forensik terhadap akaun-akaun institusi itu bukan satu isu penyelewengan besar seperti digambarkan.
Beliau berkata, tindakan AJP Nafas sekarang mengupah firma audit antarabangsa tentunya melibatkan kos yang mahal dan mungkin lebih RM100 ribu.
“Kos audit ini pastinya dibayar oleh Nafas dan bukan dari duit poket AJP Nafas sekarang. Adakah jumlah ini berbaloi? Setakat hanya harga urusniaga jual beli aset dan ladang Nafas”, tegasnya.
Mengulas mengenai harga ladang yang kononnya mahal seperti yang didakwa oleh Phahrolrazi, beliau berkata, setiap  harga dan nilai aset dan ladang adalah berbeza dan bergantung kepada keadaan aset dan ladang tersebut, termasuk mengambil kira berapa keluasan yang boleh ditanam atau dimajukan.
“Bagi saya setiap pembelian aset Nafas seperti bangunan dan ladang, yang penting ianya dibeli mengikut penilaian oleh penal penilai yang bertauliah, maka ianya adalah mengikut tatacara pembelian yang betul.
“Selebihnya nilai pasaran yang adil adalah berdasarkan prinsip perniagaan “willing buyer” and a “willing seller” “, jelas Encik Manuchihr.-pr/BNN