KOTA KINABALU: Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Encik Ghazalie Ansing mendakwa Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman tidak dapat menerima hakikat kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) sekarang “haram” kerana dibentuk selepas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UPKO melompat parti, bekerjasama dengan Warisan dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, Aziz cuba mengaitkan tindakan ADUN UPKO itu dengan apa yang berlaku pada tahun 1994 apabila Barisan Nasional (BN) berjaya memerintah Sabah selepas ADUN Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai BN ketika itu sehingga menyebabkan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan meletak jawatan.
“Inilah sebenarnya perbezaan yang ada di antara Kerajaan BN pada tahun 1994 dengan Warisan sekarang kerana pada masa itu Pairin telah meletakkan jawatan selepas mengetahui BN mendapat majoriti berbanding PBS”.
“Dalam sistem demokrasi memang sewajarnya Pairin meletakkan jawatan kerana Ketua Menteri baru perlu dilantik iaitu Tun Sakaran Dandai”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mendakwa, berbeza dengan apa yang berlaku kepada Warisan pada tahun 2018, yang mana Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman masih belum meletakkan jawatan tetapi Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal bersama Warisan telah berunding dengan Yang Di-Pertua Negeri untuk dilantik menjadi Ketua Menteri secara “haram”.
“Ini menyebabkan Sabah mempunyai dua Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dilantik secara sah tetapi Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal diantik secara “haram””, dakwa Ghazalie yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau.
Beliau berkata, pelantikan secara haram itu menyebabkan kerajaan Warisan kini juga adalah haram, dan kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan tidak lama lagi.
“Sekiranya kepimpinan Warisan dan penyokong mereka rujuk kononnya UMNO pun rampas kuasa di Perak pada tahun 2009, itu pun ada perbezaan dengan kes di Sabah”.
“Di Perak pada tahun 2009, setelah Kerajaan negeri Perak di bawah PAS dan PH gagal mendapat sokongan majoriti ADUN kerana ada dua orang ADUN kerajaan telah menyokong UMNO, MB Perak, Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengaku di depan Sultan bahawa kerajaannya telah hilang majoriti dan mahu pilihan raya mengejut diadakan”.
“Sultan Perak tidak bersetuju membubar DUN dan akhirnya Sultan menjemput UMNO/BN untuk membentuk kerajaan”, tegasnya.
Ghazalie berkata, di Sabah, Musa tidak pernah mengaku hilang majoriti dan mencabar sesiapa pun termasuk Yang di-Pertua Negeri untuk membuktikan dia sudah hilang majoriti di DUN Sabah.
“Tetapi Warisan tidak pernah menyahut cabaran ini, mereka memilih untuk merampas kerajaan secara haram melalui pelantikan Shafie Apdal”, tegasnya. -pr/BNN