TAWAU: UMNO Sabah hari ini menggesa Kerajaan Persekutuan khasnya Kementerian Pendidikan mengambil tindakan ke atas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Encik Ghazalie Ansing berkata, Pengarah Pendidikan Negeri seharusnya sedar dan maklum bahawa JPNS merupakan salah sebuah jabatan persekutuan di negeri Sabah.
“Pengarah Negeri membawa mandat Kerajaan Persekutuan dan seharusnya tahu dan akur bahawa Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan merupakan kerajaan pembangkang kepada Pusat”.
“Secara langsung atau tidak langsung pemimpin Kerajaan Warisan tidak boleh lagi menggunakan sebarang fasiliti Kerajaan Persekutuan termasuklah merasmi program-program dan acara rasmi jabatan dan sekolah khasnya”, katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas program pelancaran Kempen Bilik Rehat Sihat JPNS yang telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Puan Jenifer Lasimbang di SM St.Paul, Beaufort pada Jumaat.
Program itu turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Dr. Mistrine Radin dan pegawai-pegawai pendidikan dari Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.
Ghazalie yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata, hal yang sama juga telah dilakukan dan diamalkan oleh Kerajaan Warisan sekarang.
“Kementerian, Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri tidak dibenarkan menjemput Wakil Rakyat dan pemimpin pembangkang untuk merasminya, termasuklah mesyuarat-mesyuarat pembangunan daerah, perancangan dan lain-lain melibatkan kawasan yang diwakili oleh Wakil Rakyat pembangkang tersebut”, tegasnya.
Katanya, begitu juga dengan Pengarah-pengarah jabatan dan agensi Persekutuan lain di Sabah yang memagang mandat Kerajaan Persekutuan, harus tahu dan akur dengan perkara itu.
“Adakah Pengarah-pengarah Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan di Sabah berhasrat untuk mensabotaj Kerajaan Persekutuan dengan melanggar arahan tersebut?”, tegasnya.
Ghazalie berkata, tindakan tegas harus dikenakan terhadap Ketua-ketua Jabatan Persekutuan di negeri ini yang cuba mensabotaj Kerajaan Pusat.-pr/BNN